HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Jun 2017

Buruh cedera mercun meletup dalam bakul motosikal

MALAYSIAKINI
 
Seorang buruh cedera di tangan apabila sebiji mercun bola yang termasuk ke dalam bakul motosikalnya meletup ketika dia cuba membuangnya dalam kejadian di Kampung Simpangan, Tumpat kelmarin.

Abdul Azim Mohamad, 29, berkata dia sedang menunggang motosikalnya menuju ke Kawasan Bebas Cukai Pengkalan Kubor apabila secara tiba-tiba sebiji mercun bola termasuk ke dalam bakul motosikal, dipercayai dibaling kanak-kanak nakal.

"Dalam keadaan panik saya cuba melemparkan semula mercun itu ke tanah tetapi tidak sempat dan meletup di tangan saya," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di Kota Bharu semalam.

Akibat kejadian itu dia digegaskan ke Hospital Tumpat sebelum dibawa ke HRPZII untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada pukul 9.30 malam semalam, seorang remaja berusia 14 tahun cedera di mata kanan dan jari tangan kanan akibat bermain mercun dalam kejadian di Kampung Panchor di Kota Bharu.

Muhammad Firdaus Roslan,14, dipercayai bermain mercun yang telah diubah suai bersama rakan berhampiran kediamannya.

Ibu mangsa, Hamizah Setapa, 42 berkata dia bersyukur kerana anak kedua daripada empat beradik itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di HRPZII.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mohamad Fakri Che Sulaiman ketika dihubungi, mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.- Bernama


Tiada ulasan: