HALAMAN SANTAI

Selasa, 6 Jun 2017

Ezam Akui Proses ‘Beli’ Parti Bebas Rasuah Telah Gagal







 Selepas berdepan dengan kemelut penubuhan parti baharu hampir dua bulan lepas, akhirnya bekas Senator Datuk Mohd Ezam Mohd Nor mengakui Parti Bebas Rasuah impiannya telah gagal ditubuhkan.

“Setelah meninggalkan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) saya dan beberapa rakan menyertai parti baharu setelah ditawarkan oleh pimpinan parti tersebut untuk mengambil alih kepimpinan parti dan merubahnya menjadi parti yang khusus melawan rasuah dengan menukar nama menjadi Parti Bebas Rasuah.

“Malangnya pihak berkuasa (RoS) masih tidak meluluskan penukaran dilakukan dan rakan-rakan perlu kembali berjuang menerusi badan NGO sedia ada

“Ini kerana saya hanya setuju jika parti itu tumpu kepada isu rasuah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ezam kini dilaporkan mahu kembali semula menumpukan perhatian terhadap NGO anti rasuah Hisbah Centre For Reform (Hisbah) yang dipengerusikannya.



Pada 4 April lalu, Ezam mendakwa beliau merupakan Presiden sebuah parti baharu, Parti Generasi Baru yang akan ditukar nama kepada Parti Bebas Rasuah.

Susulan penubuhan parti itu, Timbalannya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan telah menghantar permohonan untuk menyertai Pakatan Harapan.

Namun, hasrat Ezam dan Khairuddin untuk menggunakan Parti Bebas Rasuah, akhirnya terbantut apabila Presiden asal New Gen Party (Parti Generasi Baharu) Dato G Kumar telah membuat laporan polis mendakwa partinya telah dicuri dan dijenamakan semula tanpa pengetahuannya.

Dalam laporan polis itu, G. Kumar memberitahu bahawa insiden mencuri parti itu dilakukan oleh Setiausaha Agung New Gen Party, S Gobi Krisnan yang didakwa telah dijual kepada pihak ketiga dan ditukar nama kepada Parti Bebas Rasuah yang diketuai oleh Ezam dan Khairuddin.

Sebagai membalas jasa, Ezam dan Khairuddin telah mengekalkan S Gobi sebagai Setiausaha Agung Parti Generasi Baharu @ Parti Bebas Rasuah.

G. Kumar turut membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mendakwa bekas setiausaha partinya, S Gobi seorang yang korup yang terlibat dalam aktiviti menggelapkan dana parti

Sususlan kemelut itu, ROS telah menjalankan penyiasatan terhadap Parti Generasi Baharu @ Parti Bebas Rasuah.



Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, surat berdaftar yang dihantar ROS ke alamat pejabat Parti Generasi Baru seperti yang ditulis dalam permohonan untuk menukar nama kepada PBR tidak sampai dan dikembalikan kepada ROS.

“Pasukan penguatkuasaan ROS kemudiannya membuat pemeriksaan di alamat pejabat Parti Generasi Baru dan mendapati bilik mesyuarat di pejabat parti berkenaan yang didakwa menjadi lokasi mesyuarat agung luar biasa (EGM) merupakan premis dan bilik pameran menjual jubin tiga tingkat.

“Siasatan dengan pemilik kedai jubin itu pula mendapati kedai berkenaan sudah beroperasi sejak setahun lalu. Permohonan yang dikemukakan turut mendakwa EGM mengadakan mesyuarat di lokasi tersebut pada 8 malam 30 Mac dan permohonan untuk menukar nama kepada PBR dikemukakan kepada ROS pada pagi 31 Mac ,” kata Mohammad Razin kepada pemberita.

Tambah Mohammad Razin, keraguan lain yang dikesan pada permohonan berkenaan ialah nombor MyKad salah seorang ahli jawatankuasa merujuk kepada individu lain.

Sementara pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pada MyKad seorang lagi ahli Jawatankuasa yang dikemukakan mendapati individu berkenaan tidak wujud.

Katanya, ROS masih menjalankan siasatan ke atas permohonan parti itu untuk menukar nama dan keterangan akan diambil dari beberapa lagi saksi.

Selagi permohonan tersebut dalam siasatan Mohd Ezam tidak boleh menggunakan nama PBR, katanya lagi.

Tiada ulasan: