Zulaikha Zulkifli
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau tidak akan mengendahkan laporan terkini Sarawak Report yang mengaitkan pegawai tertingginya, termasuk dirinya dengan dakwaan rasuah.
Malah, Khalid memberitahu wartawan, pihak yang wajar mengajukan
soalan ketika ini ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
dan bukan portal berkenaan.
"Dia (Sarawak Report) ada niat tak baik, ada agenda tertentu. Kita tak perlu layan.
"Biar SPRM siasat. Kalau nak tanya pun, biar SPRM tanya, apa disebut
antara saya dengan Gopi (Gopinathan Krishnan) ke, antara pegawai saya
ke, biar SPRM siasat.
"Dia (Sarawak Report) nak sibuk kenapa?" soal Khalid pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung dakwaan terbaru Sarawak Report yang
mengaitkan beberapa pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dengan suspek utama kes rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan
rumah urut di Melaka.
Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, Sarawak Report mendakwa Gopinathan ada menghubungi beberapa pegawai tertinggi PDRM di Bukit Aman, Perak dan Sarawak.
Antara yang dinamakan ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Datuk Seri Mohamad Salleh.
Selain itu, ditanya lagi tentang dakwaan Sarawak Report mengenai hubungan pegawainya dengan Gopinathan, Khalid sekali lagi berkata:
"Saya tidak perlu menjawab kepada Sarawak Report. Siapa mereka untuk saya jawab pada mereka?
"Sarawak Report sengaja nak burukkan saya dan organisasi
saya. Kita dah beritahu, kes ini sedang disiasat, biar SPRM siasat kalau
ada kesalahan yang dilakukan oleh sesiapa pun, atau mana-mana pegawai,"
katanya lagi.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Mohamad yang hadir pada
majlis yang sama enggan memberikan sebarang komen ketika diajukan soalan
mengenai dakwaan laporan Sarawak Report.
"Tak ada komen (no comment). Tak ada komen.
"Kalau SPRM panggil, saya pergilah," kata pengarah JSJ Bukit Aman itu dengan ringkas.
Khalid pada Rabu, 14 Jun lalu mengakui bahawa beliau dan keluarganya
turut mengenali Gopinathan Krishnan, 50, suspek utama berhubung kes
menerima rasuah bagi melindungi pusat judi haram dan rumah urut di
sekitar Melaka.
LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan:
Catat Ulasan