HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Jun 2017

Jakim: Islam atau bukan Islam, yang penting produk sah halal

 
Jakim tidak boleh mewujudkan peraturan lain membantu pengguna Islam selain memastikan produk adalah halal.


Othman-Mustapha-halal 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) tidak bercadang mengeluarkan label membezakan produk daripada pengeluar Islam dan bukan Islam, seperti yang digesa beberapa pertubuhan sebelum ini.

Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata, apa yang penting bagi umat Islam adalah produk tersebut disahkan halal.

“Itu memang sukar kita nak pisahkan (antara pengeluar Islam dan bukan Islam). Syarat kita apabila ada cukup kriteria dari aspek halal, kita lepaskan.

“Lihat pada pensijilan, sama ada dari jabatan agama di Malaysia atau oleh 66 pengeluar sijil halal luar negara yang diiktiraf Jakim,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Halal Malaysia di Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa pengeluar bukan Islam menggunakan penjenamaan berunsur Islam pada nama dan logo barangan mereka untuk mengelirukan pengguna Islam.

“Kita terima berpuluh-puluh aduan terhadap berpuluh-puluh produk yang dijenamakan Islam tetapi bukan dihasilkan syarikat atau pengilang Islam,” kata Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Ia termasuk penggunaan gambar masjid dan bulan sabit sebagai logo dan jenama.

Beliau mahu pihak berkuasa mengarahkan pengeluar meletakkan label pada barangan, sama ada ia keluaran orang Islam atau bukan.

Mustapha berkata, institusi agama tiada kuasa untuk bertindak terhadap pengeluar yang didakwa mengelirukan pengguna itu.

“(Bergantung kepada) kesedaran pengguna sendiri untuk utamakan sijil halal.

“Dari segi penggunaan logo, kita sudah memberi nasihat kepada industri untuk memilih lambang yang lebih sesuai,” katanya.

Cadangan bernada sama pernah dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan akhir tahun lalu, yang mahu melancarkan logo halal khas bagi syarikat Muslim.

Cadangan Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) itu mencetuskan kontroversi tetapi masih belum ada apa-apa perkembangan tentangnya.

Tiada ulasan: