shahbudindotcom
Hari
ini (Rabu) jam 10 pagi, bekas Pengerusi Felda Global Ventures atau FGV,
Isa Samad dan isterinya, Bibi Shahriza Mohd Khalid dilaporkan akan
hadir ke pejabat SPRM dinPutrajaya untuk memberi keterangan berhubung
siasatan terhadap syarikat tersebut.
Kehadiran
mereka difahamkan adalah atas arahan SPRM setelah sebelum ini agensi
tersebut turut melakukan serbuan ke pejabat FGV di Menara Felda.
Bagi
sesetengah pihak, tentu ada yang gembira dengan perkembangan ini kerana
seolah-olah Isa dan isterinya akan disiasat dan selepas itu mungkin
akan didakwa oleh agensi penguatkuasa anti rasuah itu.
Tambahan
lagi, cerita-cerita yang berlegar dari mulut ke mulut mengenai mereka
bukan sedikit diperkatakan oleh orangramai sejak Isa menerajui Felda dan
FGV lagi.
Benarkan Isa dan isterinya yang bakal disiasat?
Jika
benar Isa dan isterinya yang sedang disiasat oleh SPRM, keadaan ini
benar-benar umpama cerita kartun kerana bekas Menteri Besar Negeri
Sembilan itu baru saja dipindahkan daripada FGV ke SPAD atau Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat pada Isnin lalu.
Perpindahan
itu dilakukan oleh Najib Razak sebagai tindakan untuk meredakan kemelut
FGV yang sedang berlaku antara Isa dengan CEOnya, Zakaria Arshad yang
dikini digantung tugas dan berdepan proses siasatan dalaman.
Dalam
pertemuan dengan Isa pada pagi Isnin, Najib dilaporkan memujuk Isa
supaya bersetuju berundur daripada FGV dengan janji akan diberikan
jawatan baru di SPAD.
Pengerusi SPAD sebelum ini ialah Syed Hamid Albar, tetapi beliau sudah pun mengumumkan pengundurannya pada 3 Jun lalu.
Lantaran
bersetuju dengan tawaran Najib itulah Isa meletakkan jawatan sebagai
Pengerusi FGV beberapa jam kemudian dan disusuli dengan pengumuman oleh
Pejabat Perdana Menteri mengenai perlantikannya sebagai Pemangku
Pengerusi SPAD.
Tawaran
dan perpindahan ke tempat baru sebagaimana yang diusulkan oleh Najib
dikhabarkan diterima dengan gembira dan senang hati oleh Isa.
Dengan
demikian perjalanan ceritanya, adakah logik jika Isa yang baru saja
diberikan jawatan di SPAD, tiba-tiba disiasat pula oleh SPRM?
Lebih
tidak logik jika Isa juga akan didakwa di mahkamah kerana kiranya semua
itu berlaku, Najib dengan sendirinya telah memalukan dirinya sendiri
lantaran "orang kesayangannya" yang baru tiga hari dianugerahkan jawatan
untuk memimpin sebuah agensi kerajaan, kini terpaksa berdepan suatu
proses lain iaitu pengadilan.
Oleh
kerana SPRM berada di bawah kekuasaan Perdana Menteri dan kuasa
melantik pengerusi agensi kerajaan juga hak Perdana Menteri, adalah
lebih munasabah kiranya Isa yang mahu disiasat, lebih-lebih jika sampai
ke peringkat pendakwaan, Najib bertindak menangguhkan dahulu
perlantikannya menerajui SPAD sehingga agensi penguatkuasa anti rasuah
itu selesai menjalankan siasatan berkaitan FGV.
Hanya
setelah Isa didapati tidak terlibat dengan sebarang salah laku di FGV
oleh SPRM, barulah perlantikannya dibuat untuk menerajui SPAD.
Oleh itu, untuk apa Isa hadir ke SPRM?
Selain
mungkin kehadiran beliau adalah untuk diambil keterangannya berhubung
siasatan SPRM tentang urusniaga antara Safitex dengan Delima Oil
Products yang melibatkan kemungkinan ada salah laku oleh Zakaria,
kebarangkalian lain ialah ini merupakan satu bentuk "gertakan halus"
terhadap Isa.
Serentak
dengan pengumuman pertukaran Isa ke SPAD pada Isnin lalu juga, Pejabat
Perdana Menteri turut mengeluarkan kenyataan menyokong tindakan Lembaga
Pengarah FGV menggantung jawatan Zakaria dan tiga yang lain dengan
alasan mereka ada alasan yang munasabah untuk berbuat demikian.
Ia
secara tidak langsung merupakan sokongan terbuka Najib terhadap
tindakan Isa menggantung jawatan Zakaria dan ternampak sangat mustahil
kalau ia disusuli dengan membenarkan siasatan terhadap bekas Pengerusi
FGV itu.
Berhubung
kebarangkalian "gertakan halus" terhadap Isa, jika pun siasatan itu
melibatkan beliau dan isterinya, ia mungkin hanya sekadar siasatan
semata-mata.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan