Mahathir Mohamad
ULASAN Saya mengaku saya lawat
Geely di negara China. Saya juga melawat Volvo di Sweden, Jaguar di
Britain, Nissan dan Toyota di Jepun dan Volkswagen di Jerman.
Saya melawat banyak syarikat automotif di dunia untuk menjual
syarikat Proton. Tetapi saya gagal. Ternampak orang lain lebih berjaya,
Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada mereka.
Mungkin saya gagal kerana bercakap berkenaan pembelian enjin dari
Geely. Geely memiliki Volvo dan saya dapati enjin rekaan Volvo cukup
baik. Proton tidak ada enjin yang boleh diterima oleh Eropah. Jika
dipasang enjin Geely/Volvo mungkin kita akan menepati spesifikasi Euro
6. Dahulu pasaran luar yang terbesar bagi Proton ialah Britain. Sekarang
kita tak dapat jual barang sebiji pun kereta Proton di Britain dan di
Eropah kerana tidak menepati Euro 5.
Saya cuba naik taraf enjin Proton. Tetapi Proton tolak. Saya juga
buat trak pikap. Proton bukan sahaja tolak, tetapi tidak bersetuju jual
1000 Proton Preve yang pembeli sanggup mengalih dari sedan kepada pikap.
Oleh kerana Honda tidak benar Perdana dengan enjin Accord dieksport,
usaha dibuat untuk pasang enjin Campro Proton 1600cc dengan turbo
charger yang mempunyai kuasa sama dengan Perdana 2,000cc. Kereta ini
didapati sama kuat dengan Perdana 2,000cc dan mampu naik Genting
Highlands tanpa sedikit pun masalah. Lagipun kos enjin Proton Campro
RM8,000 lebih murah. Naik taraf kepada 2,400cc pun boleh. Tetapi Proton
tolak.
Untuk aliran tunai, Proton perlu jual lebih dari 8.000 biji tiap bulan.
Tetapi Proton menjual kurang dari 8.000 sebulan. Tidak dapat pendapatan
yang cukup untuk bayar vendor dan overhead.
Vendor tidak membekal peralatan kerana tidak dibayar. Kereta
tak dapat dipasang kerana tak cukup komponen. Keluaran rendah dari
permintaan. Penjualan tidak dapat ditingkatkan. Permintaan ada. Bekalan
kurang. Proton rugi.
Sejak saya tinggal Proton, pegawai dan kakitangan Proton tidak dibenar bercakap dengan saya, jauh sekali bertemu.
Ramai pembekal berjumpa saya untuk saya tolong dapat duit yang dihutang oleh Proton. Tetapi saya tidak boleh buat apa-apa.
Sebenarnya kereta Proton tidak kurang baiknya dari kereta import yang
sama harganya. Tingkap automatik berjalan baik. Masalah ini diatasi 10
tahun dahulu tetapi masih disebut. Ramai yang membeli kereta Proton puas
hati. Yang tidak puas hati tidak mengguna Proton, tidak tahu kualiti
Proton. Mereka masih percaya cermin tingkap tidak naik.
Saya masih ingat zaman kereta Jepun dijadikan objek ketawa kerana
kononnya jika cat dikikis akan terlihat label Milo. Industri automotif
Jepun dan Korea berjaya kerana kerajaan mereka tidak benar kereta asing
diimport sehinggalah kualiti kereta mereka sudah boleh bersaing dengan
kereta import. Sehingga kini pun tak banyak kereta buatan asing di
negara mereka.
Kita terbuka. Siapa sahaja boleh pasar kereta mereka di Malaysia.
Kereta kita tidak boleh masuk negara mereka kerana berbagai sebab. Dan
kita akur.
Tak usahlah pertahan bahawa kita masih ada kereta nasional. Kereta
milik orang lain, dikeluar dan dijayakan oleh orang lain, tidak boleh
diiktiraf sebagai nasional. Apakah dengan pegangan melebihi 0.1 peratus
maka pihak yang memiliki 49.9 peratus tidak punyai apa-apa kuasa
langsung.
Ya. Memang terdapat kos yang tinggi mempertahan maruah. Lebih mudah jual sahajalah maruah.
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD pengerusi Parti Pribumi Bumiputera Bersatu (BERSATU) dan bekas perdana menteri keempat.
LIHAT VIDEO DI SINI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan