Oleh Farhain Mazlan
SHAH ALAM: Seorang penganalisis politik berkata Barisan Nasional (BN)
Sarawak perlu memikirkan implikasi di sebalik tindakan mereka untuk
merayu ke Mahkamah Persekutuan bersabit kerusi DUN Pujut.
Pensyarah kanan Unimas, Dr Jeneri Amir berkata, ini kerana dikhuatiri
langkah itu akan memberi kesan buruk kepada parti sekiranya tewas dalam
rayuan berkenaan.
"Sebelum mereka kemukakan rayuan saya fikir penting bagi pihak Barisan
Nasional khususnya untuk pertimbangkan semua kemungkinan dan implikasi
daripada tindakan untuk membawa kes itu ke Mahkamah yang lebih tinggi.
"Kerana kalau hujah dan dalil mereka tidak kuat untuk menangkis
hujah-hujah yang di bentangkan oleh Dr Ting pada tempoh hari kemungkinan
mereka akan tewas lagi.
"Ini akan memberi kesan buruk daripada reputasi dan imej kepada
kerajaan Barisan Nasional dan sebagainya," katanya kepada Antarapos.
BN Sarawak semalam memutuskan akan merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching baru-baru ini.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata
kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuching tetapi
akan merayu di Mahkamah Persekutuan.
Ia berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengisytiharkan
sebagai batal dan tidak sah pelucutan kelayakan Dr Ting Dr Tiong Choon
sebagai ADUN Pujut oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jeneri bagaimanapun berkata, BN Sarawak berhak untuk membuat rayuan
terhadap keputusan berkenaan, namun mengingatkan mereka perlu 'bersedia
berdepan dengan kekalahan'.
"Kerajaan Negeri DUN Sarawak mempunyai hak untuk kemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi.
"Kerana hakikatnya memang ada ruang untuk mereka mengemukakan rayuan
tetapi kalaulah mereka kalah dan tewas lagi di peringkat seterusnya,
bermakna mereka tewas empat kali.
"Bersediakan kerajaan Barisan Nasional Sarawak untuk berdepan dengan
kekalahan kali ke-empat, pertama dalam Pilihan Raya Negeri hari itu
mereka tewas, dengan 1795 undi, yang kedua tewas di Mahkamah Tinggi juga
Disember lepas dan tewas lagi Sabtu lalu jadi mereka harus
pertimbangkan semua ini," katanya lagi.
Mahkamah Tinggi Kuching pada Sabtu lalu membuat keputusan untuk mengekalkan status Dr Ting Tiong Choon sebagai ADUN Pujut.
Hakim Datuk Douglas Christ Primis Sikayun membuat keputusan itu selepas
membenarkan permohonan Tiong Choon mencabar keputusan Speaker Dewan
Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Mohamad Asfia Awang Nassar
berhubung pemecatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan