HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 Jun 2017

MH128: Penumpang bermasalah enggan tampil ke mahkamah

 
Peguam kepada warga Sri Lanka itu berkata anak guamnya bimbangkan keselamatannya dalam tahanan.


Manodh-Marks-1


PETALING JAYA: Penumpang yang cuba memasuki kokpit pesawat Malaysia Arlines dengan peranti yang kononnya bom enggan tampil ke mahkamah susulan tangkapannya.

Sydney Morning Herald melaporkan peguambela Tessa Dunsford memberitahu Mahkamah Majistret di Merlbourne yang anak guamnya, Manodh Marks, 25, bimbangkan keselamatannya dalam tahanan kerana “usia dan penampilannya”.

Majistret Suzanne Cameron turut membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan, menurut laporan itu.

Warga Sri Lanka ditangkap semalam selepas mencetuskan gempar dalam penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur.

Penumpang lain berkata mereka ketakutan apabila beliau meluru ke kokpit sambil menjerit mahu meletupkan pesawat itu. Bagaimanapun peranti yang kononnya bom itu didapati sebuah speaker.

Beliau kemudian ditahan anak kapal yang menekannya di lantai dan mengikatnya sebelum pesawat membuat pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Melbourne.

Unit elit polis kemudian menaiki pesawat, menggarinya dan mengiringnya keluar dari pesawat.

Penerbangan yang meninggalkan Lapangan Terbang Melbourne pada 11.11 malam dijangka tiba di Kuala Lumpur 5.28 pagi hari ini. Bagaimanapun ia terpaksa dijadualkan semula berikutan kejadian itu dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2.00 pagi malam ini waktu tempatan.

Penerbangan itu membawa 337 penumpang ketika kejadian.

Polis Australia berkata Marks baru sahaja dibebaskan dari jagaan psikiatri dan menaiki pesawat beberapa jam kemudian.

“Dia dibebaskan dari jagaan psikiatri (pada Rabu), dan dari situ kami percaya dia membeli tiket pesawat ini…dan kemudian menuju ke lapangan terbang dan menaiki pesawat itu,” kata Ketua Polis Victoria Graham Ashton kepada pemberita hari ini.

Ashton berkata kejadian itu tidak lagi dianggap berkaitan keganasan, tetapi kes melibatkan isu kesihatan mental.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata lelaki itu nampak seperti mabuk dan menyifatkan lelaki itu “penumpang yang menimbulkan gangguan”.

Marks dilaporkan didakwa di bawah Akta Jenayah Penerbangan Commonwealth 1991 kerana secara semberono membahayakan keselamatan pesawat, membuat ancaman atau keterangan palsu dan mengancam untuk memusnahkan, merosakkan dan membahayakan keselamatan pesawat atau membunuh atau mencederakan penumpangnya.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara 10 tahun.

Marks dilaporkan ditahan reman sehingga pendengaran kes pada Ogos.

Tiada permohonan ikat jamin dibuat.

Tiada ulasan: