Oleh Zeanaaima Md Yusof
GOMBAK: Nazir dan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid An-Nur Kampung Melayu
Subang patut dipersalahkan atas insiden Ahli Parlimen Subang, R.
Sivarasa memasuki ruang solat dan dikatakan membuat ucapan politik.
Penganalisis politik, Datuk Aidit Ghazali berkata nazir dan ajk masjid
itu sepatutnya maklum perkara sebegitu amat dimurkai Sultan Selangor
sementelah insiden seperti ini bukan kali pertama berlaku.
"Dalam hal ini, saya salahkan nazir masjid dan juga jawatankuasa masjid
yang sepatutnya sudah tahu. Untuk kata mereka tidak tahu, ini bagi saya
adalah penipuan, kerana nak jadi nazir, ajk masjid mereka akan lalui
taklimat dan kursus, dan mereka akan tahu perkara ini.
"Ini bukan kali pertama tuanku bertitah dan lebih mencemarkan lagi, ia
berlaku di bulan Ramadan," katanya ketika ditemubual Antarapos.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan murka
terhadap Sivarasa kerana memasuki masjid dan dikatakan memberikan ucapan
berbaur politik.
Sivarasa kemudiannya menafikan beliau berucap perihal politik
sebaliknya hanya menyampaikan sumbangan kepada ahli qariah masjid itu,
mewakili Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Aidit yang juga bekas Ahli Majlis Agama Islam Selangor
(MAIS) berkata beliau amat memahami pendirian baginda bersabit isu
politik melibatkan masjid.
"Saya tahu pendirian tuanku terhadap perkara-perkara begini. Orang Islam pun tidak boleh bicara hal politik.
"Pendirian tuanku tentang perkara ini bukan isu baru. Ketika saya ahli
MAIS dulu pun perkara ini pernah berlaku, itu sebab tuanku murka.
"Dan kemurkaan tuanku itu tidak boleh diambil remeh, sebab kuasa yang
ada pada tuanku adalah kuasa yang besar. Jangan sampai kuasa itu
mencelarukan keadaan negeri Selangor yang sedia ada," katanya.
Aidit menegaskan bukan hanya ahli politik bukan Islam malah wakil
rakyat beragama Islam juga perlu meminta kebenaran jika ingin membuat
program dalam kawasan masjid.
"Kalau hendak buat program, apa-apa pun mesti mendapat kelulusan MAIS
sebagai badan utama dasar Islam, sebelum mendapat kebenaran JAIS (iaitu)
badan pelaksana dasar Islam dan kalau perlu dapatkan perkenan tuanku,
mesti dapatkan," katanya.
"Kalau nak buat juga dalam kawasan masjid, boleh. Tapi bukan dalam
kawasan solat. Ini kenapa sampai nak masuk ruang solat, depan mimbar
pula. Dengan dia berbaju Melayu, itu bukan lesen untuk dia bercakap
(politik)," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan