HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Jun 2017

Polis tembak 3 das sebelum tahan dua remaja

Bernama
Mior Farid Al Athrash Wahid


ALOR SETAR – Polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan sebelum menahan dua remaja berusia 16 dan 22 tahun yang bertindak melanggar kereta polis ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Kampung Merbau Kudung, Sik, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 2.21 petang itu, sepasukan anggota ‘Pasukan Khas Lejang’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menghampiri kereta Proton Iriz yang dinaiki suspek untuk tujuan pemeriksaan.

Sebaik memperkenalkan diri, pemandu kereta berusia 22 tahun itu bertindak agresif dengan mengundurkan keretanya dan melanggar kereta dinaiki anggota polis itu, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mior Farid Al Athrash berkata, anggota polis yang cuba mempertahankan diri dan memberhentikan kereta berkenaan telah melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar hadapan kereta suspek yang dipercayai dicuri sebelum berjaya memberkas kedua-dua remaja itu.

Hasil pemeriksaan terhadap kereta tersebut, katanya, polis menemukan tiga paket kecil berisi dadah heroin, sebilah parang dan pisau serta sehelai baju dan seluar serta kasut askar.

Kedua-dua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 379 (a) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: