HALAMAN SANTAI

Sabtu, 3 Jun 2017

Rafizi ikrar ‘kacau’ Khairy jual mimpi TN50

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mencabar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk menjelaskan tentang statistik pertumbuhan ekonomi negara yang tidak dirasai kesannya oleh orang ramai.

Menurut Rafizi, Khairy perlu menjelaskan sebab di sebalik kadar kenaikan gaji yang sangat rendah berbanding kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.

“Laporan Produktiviti 2015/16 secara jelas menunjukkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib, kadar kenaikan jumlah imbuhan kepada pekerja (dalam bentuk gaji, caruman dan pampasan) sebenarnya menurun daripada 5.3 peratus (2011) kepada 3.8 peratus(2015).

“Oleh itu, pertumbuhan KDNK yang didorong oleh pekerjaan berkemahiran rendah akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan tetapi tidak meningkatkan tahap gaji.

“Kebelakangan ini fenomena ini berleluasa dengan peningkatan pekerjaan berkemahiran rendah yang dibayar gaji yang rendah kerana diisi oleh pekerja asing,” kata Ahli Parlimen Pandan itu dalam kenyataannya.

Katanya, isu tersebut perlu dijelaskan Khairy yang kini rancak dalam siri penerangan Transformasi Nasional 2050.

“Oleh sebab itulah, saya akan terus mengacau Khairy untuk menjawab soalan-soalan ini sebelum beliau sibuk menjelajah negara menjual mimpi pada tahun 2050.

“Kalau beliau boleh memilih untuk tidak menjawab soalan dari Malaysiakini dengan kasar, beliau tidak boleh terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai pekerjaan dan kos sara hidup.

“Saya masih menunggu jawapan daripada Khairy Jamaluddin mengenai peluang untuk berdialog dengan 300 orang pimpinan pembangkang dalam sesi TN50.

“Saya mahu tanya soalan yang paling mudah: apa tindakan Datuk Seri Najib sekarang untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya kepada rakyat?” kata Rafizi.

Transformasi Nasional 2050 yang dikenali dengan singkatan TN50 adalah propaganda terkini Umno BN selepas Wawasan 2020 yang akan berakhir dalam tempoh 3 tahun dari sekarang.

Pemimpin Umno BN kini rancak menjelajah negara menjelaskan propaganda tersebut sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang akan berlangsung pada bila-bila masa

Tiada ulasan: