shahbudindotcom
Dalam
reaksinya mengenai tindakan DOJ atau Jabatan Kehakiman AS berhubung
proses penyitaan aset-aset berkaitan 1MDB, sepupu Najib Razak yang
disebut-sebut mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri,
Hishammuddin Hussein membangkitkan dua perkara yang tentunya membuatkan
ramai orang garu kepala.
Pertama,
beliau yang juga Naib Presiden UMNO mencabar DOJ untuk segera melakukan
pendakwaan jika benar agensi penguatkuasa AS itu memiliki bukti
berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan.
Katanya, jika DOJ tidak melakukan pendakwan di mahkamah, ia hanya akan menjejaskan kredibiliti mereka.
"Saya
nak nasihat, kalau DOJ mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah,
jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.
"Apabila
mereka dakwa di mahkamah, yang didakwa ada ruang untuk membersihkan
nama masing-masing," ujarnya yang baru-baru ini turut dilantik sebagai
Menteri Tugas-Tugas Khas, selain dikekalkan sebagai Menteri Pertahanan.
Kedua,
Hishammuddin juga mempersoalkan identiti sebenar Malaysian Official 1
atau MO1 sebagaimana yang disebut dalam dokumen DOJ tersebut.
"Ia boleh jadi sesiapa saja. MO1 itu mungkin Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani.
"Sehingga kita tahu fakta yang sebenar, macam mana kita nak tahu siapa MO1 itu? soal Hishammuddin lagi.
Pelik
juga dengan Hishammudin ini, tiba-tiba saja mencabar DOJ untuk
menyegerakan proses mahkamah sedangkan beliau sepatutnya tahu apa yang
berlaku sekarang baru di peringkat memfailkan dokumen untuk proses saman
sivil.
Sehingga
ini, sudah tiga pemfailan dilakukan oleh DOJ di mana kali pertama
melibatkan dokumen setebal 136 mukasurat, kali kedua melibatkan
penthouse dan pejabat di London dan yang terbaru melibatkan pelbagai
lagi aset dengan dokumen mahkamah mengenainya setebal 251 mukasurat.
Maka, sabarlah sikit untuk proses yang seterusnya?
Apakah
dengan kesediaan menyediakan dokumen yang sebegitu tebal dan
terperinci, Hishammuddin merasakan DOJ hanya main-main saja dalam
tindakan mereka?
Harus
disedari bahawa apa yang dilakukan oleh DOJ ialah berkaitan mereka yang
menggunakan sistem kewangan negara itu untuk membeli harta dan pelbagai
aset daripada wang yang dicurigai sumbernya, melibatkan penggubahan
haram dan pencurian dana negara.
Sudah
tentu, ia memerlukan tindakan yang teliti dan mengambil sedikit masa
kerana dalam usaha merampas atau menyita aset-aset yang disenaraikan itu
mungkin wujud kecuaian-kecuaian tertentu yang memungkinkan penyitaan
itu mengalami kegagalan.
Jadi, kelambatan itu adalah kerana banyak penelitian perlu dilakukan sebelum di bawa ke mahkamah untuk dibentang dan dihujah.
Lagi
pula, seperti yang diketahui, keluarga Jho Low sendiri ada memfailkan
tindakan mahkamah di New Zealand dan Pulau Cayman sebelum ini untuk
menghalang harta-harta yang disenaraikan DOJ itu daripada dirampas.
Sekali lagi, sabarlah wahai bakal Perdana Menteri!
Namun
demikian, dicurigai juga adakah ketidaksabaran Hishammuddin ini
bertujuan untuk menunjukkan beliau dilihat membela nama-nama yang
disebut DOJ itu yang antaranya ialah Jho Low dan Riza Aziz, anak tiri
Najib sendiri atau ada maksud tersirat iaitu supaya Perdana Menteri
terus tertekan dan cepat-cepat meletakkan jawatan?
Berhubung
keraguan Hishammuddin tentang identiti MO1 dan menyebut kemungkinan
juga MO1 adalah Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani, tindakan
sepupu Najib dalam hal ini bukan saja kelakar, malah menyerlahkan beliau
sudah duduk sebaris dengan Ahmad Maslan.
Tidakkah
Hishammudin lupa bahawa antara fakta yang disebut DOJ mengenai MO1
ialah individu tersebut merupakan pegawai berpangkat tinggi dalam
kerajaan Malaysia serta didakwa pernah menerima AS$731 juta daripada
dana 1MDB yang dilencongkan melalui akaun peribadinya?
Dalam dokumen saman sivil yang pertama, MOI juga disebut sebanyak 36 kali.
Dengan
yang demikian, adakah munasabah MO1 itu Johari Abdul Ghani yang baru
saja menjadi Menteri Kewangan Kedua sejak 2015 lalu menggantikan Husni
Hanadzlah?
Cerdiklah sikit bro!
Dalam
hal ini, kenapa Hishammuddin masih cuba bermain teka-teki, sedangkan
rakan kabinetnya, Abdul Rahman Dahlan secara terbuka pernah mengatakan,
adalah bodoh jika sesiapa memikirkan MO1 itu adalah individu lain selain
Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan