shahbudindotcom
Meskipun
Pakatan Harapan masih perlu berunding untuk menentukan siapa calon
Perdana Menteri sebaik gabungan itu mengambil alih kerajaan selepas PRU
14 nanti, hakikat yang nyata ialah mereka tidak ketandusan pemimpin yang
layak.
Sementara
menunggu Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara, calon yang layak
tidak sukar dicari. Ada Tun Mahathir Mohamad, Dr. Wan Azizah Wan Ismail,
Muhyiddin Yassin, Azmin Ali, malah Mohamad Sabu tidak kurang layaknya
juga.
Ia
berbeza dengan UMNO dan BN yang hanya bergantung semata-mata kepada
Najib Razak. Walaupun Najib dibelenggu skandal kewangan paling buruk di
muka bumi ketika ini, mereka tiada pilihan selain perlu terus
mempertahankannya.
Tidak
ada yang berani menaikkan nama lain selain Najib sebagai bakal Perdana
Menteri. Jika Zahid Hamidi mahu dinaikkan, puak Hishammuddin akan
membantah dan jika Hishammuddin pula dinaikkan, penyokong Zahid pasti
akan "melompat".
Kiranya
nama Khairy Jamaluddin cuba-cuba mahu disebut, tidak kurang yang akan
membantah berikutan rekod lamanya semasa menjadi "ketua budak tingkat 4"
kepada Tun Abdullah Badawi yang menyebabkan sebahagian besar masalah
UMNO dan negara hari ini adalah berpunca daripadanya.
Mahu tidak mahu, seburuk mana pun Najib di mata rakyat dan dunia, UMNO dan BN tidak ada pilihan.
Malah,
dengan kecenderungan rakyat menolak UMNO dan BN terus membuak-buak,
mereka seolah-olah reda untuk kalah dan hilang kuasa bersama-sama dengan
Najib.
Apa jadi setelah kalah nanti?
Siapa bakal Ketua Pembangkang daripada BN ketika itu?
Masihkah
Najib dipercayai untuk memikul tugas sebagai Ketua Pembangkang atau
beliau akan lebih dipersalahkan sebagai punca utama kepada kekalahan?
Najib
sendiri bagaimana, adakah beliau masih bernafsu untuk berjuang demi
agama dan bangsa atau lebih dulu akan berpindah ke luar negara bersama
keluarganya?
Atau Zahid Hamidi, Hishammuddin mahu pun KJ sedia memikul peranan Ketua Pembangkang itu?
Jika
di antara bertiga itu menjadi Ketua Pembangkang, mampukah mereka
menghidupkan kembali peluang UMNO dan BN untuk berkuasa dalam
pilihanraya yang seterusnya?
Mampukah
mereka dalam keadaan tiada lagi kuasa untuk berhadapan dengan Pakatan
Harapan yang di dalamnya terbaris tokoh-tokoh hebat seperti Tun
Mahathir, Anwar, Muhyiddin, Lim Kit Siang, Mukhriz, Azmin, Mohamad Sabu,
Tony Pua, Rafizi Ramli, Salahuddin Ayub, Nurul Izzah dan ramai lagi?
Adakah lagi pemimpin UMNO lain yang layak jadi Ketua Pembangkang?
Ketika
itu, sementara Pakatan Harapan mungkin lebih mudah mencapai konsensus
untuk memilih siapa calon Perdana Menteri, UMNO dan BN sebaliknya turut
terkial-kial untuk menentukan siapa yang layak jadi Ketua Pembangkang.
Siapa lebih malu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan