Anne Muhammad
Tiga puluh tahun berkhidmat dengan keluarga diraja Saudi bukan saja
memberikan pengalaman dan wang ringgit kepada Abdul Rasheed Rivero,
tetapi juga cahaya agama.
Warganegara Filipina itu bagaimanapun memilih bumi Malaysia untuk melafazkan dua kalimah syahadah tiga tahun lalu.
“Saya menganut agama Islam di JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) pada 28 Mei 2014.
“Alhamdulillah hari ini genap tiga tahun saya menjadi seorang Islam,”
katanya bersungguh-sungguh sambil menunjukkan kad akuan mualafnya
kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, katanya, semua itu berlaku secara kebetulan memandangkan ada anggota keluarganya menetap di sini.
Abdul Rasheed berkhidmat dengan keluarga Saud sejak tahun 1981 hingga
2011 di bawah dua raja, iaitu Salman Abdulaziz Al Saud dan bapanya
Abdulaziz Abdul Rahman Faisal.
Beliau terlibat untuk rekaan pakaian keluarga besar keluarga diraja
itu dan ketika itulah beliau mula mengenali agama Islam sedikit demi
sedikit.
“Saya masih ingat ketika itu Raja Salman masih muda.
“Saya reka pakaian upacara untuk keluarga diraja itu, banyak pakaian perkahwinan, pertunangan dan macam-macam saya reka.
“Pada waktu itu, rekaan di Riyadh lebih kepada rekaan Eropah. Saya juga mendalami agama Islam di sana,” katanya.
Lelaki 69 tahun itu ketika ditemui sedang mengikuti rutin kelas
agamanya bawah kelolaan Islamic Outreach ABIM Center (IOAC) dan Masjid
Negara di Kuala Lumpur.
Pentingkan keluarga
Abdul Rasheed atau nama asalnya Rodrigo Rivero mengakui kini tenang dengan agama pilihan hatinya iaitu Islam.
Beliau sebelum ini menganut agama Kristian.
Pada usia emas itu, selain mengenali agama barunya, Abdul Rasheed
juga ternyata seorang yang penyayang dan mementingkan keluarga, walaupun
beliau tidak pernah berkahwin selama hayatnya.
Bercakap berkaitan keluarga membuatkan hatinya sentiasa girang dan
beliau tanpa segan sempat berkongsi foto anggota keluarganya yang
disimpan rapi dalam dompetnya bersama Malaysiakini.
Beliau malah menggunakan wang yang simpanan semasa berkhidmat di Arab Saudi untuk pembiayaan pendidikan anak-anak saudaranya.
Perbezaan agama juga bukan penghalang untuk hubungan baik mereka.
“Alhamdulillah rata-rata mereka menjadi jururawat dan ada yang masih
kuliah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” katanya sambil
tersenyum.
Abdul Rasheed merancang pulang semula ke Arab Saudi tahun depan, bukan sebagai pekerja, tetapi tetamu Allah di Baitullah.
Beliau berharap sangat dapat mengerjakan umrah pada tahun hadapan.
[Tulisan ini bahagian pertama daripada siri kisah perjalanan rohani
memeluk Islam yang akan disiarkan Malaysiakini sempena Ramadan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan