KAJANG – Rebus rumput untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Itu antara hidangan yang disajikan kepada keluarga pelarian Syria di Lubnan sejak awal Ramadan lalu.
Ketika umat Islam yang lain berbuka puasa dengan pelbagai hidangan
yang enak-enak, masyarakat Islam di Syria terpaksa menjadikan apa sahaja
benda yang boleh dimakan untuk mengalas perut.
Perkara itu diceritakan pengarah filem dan juga pelawak Afdlin Shauki
apabila bertekad mahu melaksanakan misinya untuk membantu pelarian
Islam yang hidupnya tersepit di negara bergolak itu.
Menurut Afdlin, hatinya tersentuh setelah mendapat tahu perkara itu
dan beliau telah memasang niat untuk membantu pelarian di sana menerusi
Yayasan Afdlin Shauki yang baru ditubuhkannya.
Satu lagi yayasan yang turut membantu bagi misi itu katanya, ialah
Yayasan Kubra yang bertindak sebagai pengutip dana bagi misi berkenaan.
Jelasnya, pergolakan yang berlaku di Lubnan telah menyebabkan rakyat
negara itu menjadi pelarian dan status mereka itu pula menghalang untuk
bekerja meskipun sebenarnya mereka boleh bekerja.
“Cara mereka sebagai pelarian untuk terus hidup adalah dengan bantuan
sahaja. Disebabkan itu yayasan saya dan Yayasan Kubra mahu membantu
daripada segi kewangan, makanan dan ubat-ubatan.
“Walaupun keadaan pada masa ini musim panas tapi itu bukan
pengahalang bagi kami untuk membantu mereka yang sememangnya
memerlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian dan berbuka
puasa Afdlin’s Shell Syiok di Plaza Metro Point di sini semalam.
Ujar penerbit dan juga pelakon itu lagi, beliau tidak membuat
sebarang persediaan untuk melaksanakan misinya itu dan hanya redha
dengan qada dan qadar daripada tuhan sahaja.
Katanya, dia bersyukur kerana ibu dan juga keluarganya membenarkan
beliau untuk berangkat ke negara berkenaan pada misi bantuannya kali ini
meskipun pernah dihalang sebelum ini.
“Baru-baru ini saya pernah berhasrat mahu menyampaikan bantuan kepada
penduduk Yaman, tetapi disebabkan sehari sebelum kami bertolak berlaku
insiden pengeboman apabila US (Amerika) bertindak ganas terhadap negara
itu, ibu dan keluarga telah menghalang.
“Saya ni memang tidak suka berfikir perkara yang bukan-bukan sebab itu saya melakukan ini (misi bantuan),” ujarnya.
Tambah beliau, misinya ke Lubnan pada 10 hingga 16 Jun ini merupakan
kali pertama ke negara itu dan tidak merasa janggal untuk melakukannya
kerana sudah memiliki pengalaman sperti itu sebelum ini.
Bercakap mengenai restoran yang dirasmikannya itu Afdlin berkata, ia
baru saja beroperasi minggu lepas di dalam bulan Ramadan ini.
Pada mulanya kata beliau, dia dan seorang rakan kongsinya
teragak-agak untuk bermula kerana ketika ini umat Islam sedang berpuasa.
“Alhamdulillah, kami tidak menyangka ada permintaan hingga
menyebabkan restoran ini sering mendapat tempahan untuk berbuka puasa,”
katanya.
Ketika ditanya mengenai keunikan masakan di restorannya Afdlin
berkata, menu masakannya memiliki kelainan apabila menggunakan sos yang
berbeza serta menggunakan gabungan daging-daging lembut untuk sup tulang
merah.
Pada majlis berbuka puasa tersebut Afdlin berbesar hati meraikan
anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Selangor. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan