HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Julai 2017

E-Kad: Jabatan Imigresen tahan 51 PATI

ANTARAPOS.COM

Post Pic

 
KLANG: Seramai 51 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam operasi besar-besaran yang dilakukan Jabatan Imigresen pada malam tadi.
 
Operasi tersebut disertai seramai 86 pegawai jabatan tersebut dari Selangor dan Putrajaya, dilaksanakan selepas tempoh permohonan kad sementara Enforcement Card (E-Kad) tamat pada tengah malam tadi.
 
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya menyerbu dua asrama pekerja di Batu 7 Kapar, Klang.
 
Hasil serbuan terhadap 239 pekerja asing mendapati 51 daripada mereka termasuk 12 wanita tida mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih tempoh.
 
Mustafar berkata antara alasan yang diberikan PATI ketika ditahan adalah tidak tahu tarikh tamat memohon dan majikan memberitahu tempoh permohonan E-Kad akan dilanjutkan.
 
“Di sini saya ingin tegaskan tarikh tamat permohonan tidak akan dilanjutkan, kita sudah memberikan tempoh yang cukup kepada pekerja asing dan majikan untuk membuat permohonan E-Kad.
 
“Malah kami juga telah meminta kerjasama dari kedutaan negara sumber untuk melakukan hebahan mengenai E-Kad,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi selama kira-kira 2 jam itu.
 
Mustafar menegaskan Jabatan Imigresen tidak akan sesekali berkompromi dengan majikan dan PATI yang terbabit.
 
Beliau dalam pada itu menambah operasi memburu PATI akan dilakukan setiap hari.
 
E-Kad adalah pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan yang sah untuk membolehkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen terus bekerja di sini.
 
Ia akan tamat tempoh pada 15 Februari tahun depan dan sebelum tempoh berkenaan pemegang kad berkenaan perlu mendapatkan dokumen perjalanan yang sah dari kedutaan negara masing-masing bagi tujuan permohonan permit kerja atau akan berdepan dengan pengusiran.
 
Hanya 23% atau 161,056 PATI didaftarkan sehingga 10 malam tadi iaitu 2 jam sebelum tempoh akhir pendaftaran tamat pada 12 tengah malam.
 
Ia melibatkan 28,375 majikan dengan sebanyak 145,571 E-Kad dikeluarkan, jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal 600,000 PATI.
 
 

Tiada ulasan: