Oleh Ainor Rahim
BUTTERWORTH: Walaupun semua calon Umno menang pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) sekalipun, Barisan Nasional (BN) tetap tidak mampu
merampas kembali Pulau Pinang jika tidak dibantu MCA, MIC serta Gerakan.
Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid berkata Umno yang
kini mempunyai 15 kerusi memerlukan bantuan parti komponennya untuk
memenangi sekurang-kurangnya enam kerusi lagi pada pilihan raya akan
datang.
"Kita ada 15 sahaja kerusi yang dipertandingkan dibawah Umno. Jadi
bermakna kita perlu tambah kerusi yang dipertanding oleh Gerakan, MCA
dan MIC untuk mendapat sekurang-kurangnya 21 kerusi (untuk tawan Pulau
Pinang)," katanya kepada Antarapos dalam temubual eksklusif di Pusat
Khidmat Teluk Air Tawar baru-baru ini.
Jahara memberitahu jentera pilihan raya Umno BN Pulau Pinang sudah pun
digerakkan, malah pihaknya bersedia pada bila-bila masa untuk pilihan
raya umum diadakan.
Beliau kemudiannya menyeru rakyat Pulau Pinang agar membuka mata dan
menilai sikap kerajaan negeri DAP yang tidak membela sewajarnya nasib
rakyat terutama masyarakat Melayu di sini.
"Apa yang telah disalahguna kerajaan negeri sekarang yang mana kita tidak boleh perbetulkan lagi di masa depan.
"Macam saya cakap hilang tanah, sampai bila tidak dapat. Jadi macam
itulah. Orang Pulau Pinang habis berhijrah ke tempat lain payah nak
patah balik, jadi ini yang kita harus fikirkan dan minta rakyat Pulau
Pinang menimbangkan sewajar-wajarnya," jelasnya.
Parti DAP memperoleh mandat mentadbir kerajaan negeri selama dua
penggal sejak tahun 2008 dibawah gabungan Pakatan Rakyat (PR) apabila
pakatan itu berjaya memenangi 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada
PRU13 lepas.
DAP pemegang majoriti ekoran mempunyai 19 kerusi. Manakala PKR mempunyai 10 kerusi dan PAS hanya 1 kerusi di Permatang Pasir.
Sementara itu, parti komponen BN MIC, Gerakan dan MCA tidak mempunyai satu pun kerusi dalam DUN.
Manakala, Umno mempunyai 10 kerusi yang merupakan kerusi tradisi yang dimenangi pada PRU13 lepas.
Antara 10 kerusi yang dipegang Umno ialah Penaga, Bertam, Pinang
Tunggal, Permatang Berangan, Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Sungei Acheh,
Bayan Lepas, Pulau Betong dan Teluk Bahang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan