KLANG: Reman seorang lelaki yang ditahan polis Isnin lalu kerana
disyaki memasang bom buatan sendiri pada kereta bekas kekasihnya
disambung sehingga esok.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata,
lanjutan reman dibuat bagi memperinci siasatan motif utama perbuatan
itu.
Ujarnya siasatan awal mengesyaki perbuatan lelaki itu yang bekerja
sebagai juruteknik bertujuan mengugut bekas kekasihnya yang tidak
melunaskan pinjaman bulanan bank bagi kereta tersebut.
Beliau berkata ini kerana lelaki berumur 27 tahun itu menjadi penjamin
bagi pinjaman bank berkenaan dan dia tidak berpuas hati dengan sikap
bekas teman wanitanya itu.
“Setakat ini, siasatan awal menunjukkan tindakan lelaki itu sebagai
ugutan, malah pembuatan bom yang dipasangnya juga bukanlah seperti
pakar. Mungkin sekadar ditiru daripada laman sosial,” katanya kepada
pemberita semalam.
Terdahulu, Ab Rashid menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis
Daerah Klang Utara yang baharu, ACP Mazelan Paijan bagi menggantikan ACP
Mohd Yusoff Mamat yang bertukar ke Bukit Aman sebagai timbalan pengarah
kepolisan am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner
Fadzil Ahmat berkata dua suspek utama kes samun di Kampung Masjid,
Kajang pada Jumaat lepas ditahan awal pagi tadi.
Beliau berkata penahanan dua suspek lelaki itu adalah susulan
penangkapan seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berumur 56
tahun dan 22 tahun di Kajang, semalam.
Kedua-dua lelaki tempatan itu yang berusia 21 dan 23 tahun ditahan
antara 4.30 hingga 5.30 pagi di Sungai Chua, Kajang, katanya dalam
kenyataan semalam.
“Lelaki berumur 21 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dan
seorang lagi mempunyai lima rekod jenayah lampau. Semua 4 suspek ditahan
reman selama 6 hari mulai hari ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan