SHAH ALAM: Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan Tun Dr
Mahathir Mohamad sebagai kebudak-budakan selepas memintanya bersumpah
dalam masjid kerana didakwa melindungi Datuk Seri Najib Razak dalam
skandal wang RM2.6 bilion.
“Beliau menjadi kebudak-budakan…mungkin zaman kanak-kanak ke-2 atau
ke-3. Saya kasihankan beliau,” kata Apandi sebagaimana memetik laporan
Free Malaysia Today, hari ini.
Dr Mahathir pada semalam mendakwa Apandi sebagai berdosa kerana cuba
melindungi Perdana Menteri dari didakwa di mahkamah kerana menerima
RM2.6 bilion dan menyerahkan RM2.3 bilion kepada seorang warga Arab
Saudi.
Menuduh Apandi sebagai pecah amanah dan berbohong, Dr Mahathir juga
menggelarkan Apandi tidak takut dengan Allah kerana laporan Bank Negara
Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketua audit
negara berhubung RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana
menteri, daripada orang ramai.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kemudiannya
menyuruh Apandi mengambil wuduk, menjunjung Al-Quran dan bersumpah dalam
masjid untuk membersihkan dirinya dari disabitkan terlibat dengan
dakwaan itu.
Dr Mahathir sebelum ini berkata akan mengambil tindakan terhadap Apandi
jika pembangkang menang dalam pilihan raya akan datang, namun dijawab
oleh peguam berkenaan bahawa beliau hanya menjalankan tugas dan hanya
takut kepada Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan