Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Azmin Ali tidak melihat teguran Ketua Umum
PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditujukan kepada Pengerusi Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar pada 17 Jun membuat teguran terhadap sikap PPBM yang cuba
mendominasi struktur organisasi Pakatan Harapan (PH), daripada tirai
besi di Penjara Sungai Buloh.
Teguran itu dibuatnya selepas PPBM dikatakan cuba membolot jawatan penting seperti Pengerusi dan Presiden dalam PH.
"Beliau (Anwar) tidak merujuk mana-mana individu kerana sudah tentu
sebagai parti dan gerakan reformasi kita mahu struktur baru dan tidak
terikut-ikut dengan cara Barisan Nasional (BN) yang telah lapuk.
"Saya tidak mahu menafikan peranan mana-mana individu. Dan sebenarnya
mereka telah berikan sumbangan lebih besar ke arah perubahan dalam
PRU14. Sekarang kita hendak gabungkan semua kekuatan yang ada secara
inklusif," katanya kepada media ketika menghadiri Sambutan Hari Raya
Aidilfitri Peringkat Negeri di Pandan Indah, petang tadi.
PH hingga kini masih belum memuktamadkan struktur organisasinya.
Bahkan, terdapat media yang melaporkan PH kini bertegang urat sesama
mereka berikutan tidak berpuas hati dengan cadangan yang diusulkan PPBM.
PPBM dikatakan mencadangkan Anwar dinamakan sebagai Penasihat PH,
sementara Dr Mahathir dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail masing-masing dinamakan pengerusi dan timbalan pengerusi PH.
Parti itu juga dikatakan menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Azmin sebagai presiden dan timbalan presiden PH.
Bagaimanapun PPBM, melalui timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan laporan media itu.
Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tampil dan menyatakan
persetujuan jika Dr Mahathir diberi peranan penting dalam PH namun
menolak untuk PPBM terlalu menguasai gagasan itu.
Guan Eng juga menegaskan DAP tetap mahukan Anwar sebagai calon Perdana
Menteri pembangkang, jika mereka memenangi pilihan raya akan datang.
Sokongan kepada Anwar itu diutarakan Guan Eng selepas Anwar mengumumkan
untuk menarik diri daripada dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri,
selain menolak penguasaan PPBM dalam PH.
Pun begitu, Anwar bersetuju jika Dr Mahathir diberikan peranan sewajarnya dalam PH.
Sementara itu Azmin yang juga Menteri Besar Selangor memaklumkan PH
pada ketika masih lagi membincangkan struktur kepimpinan gabungan
pembangkang itu sebelum diumumkan kelak.
"Saya tidak terlibat dalam mesyuarat lepas kerana berada di Mekah
mengerjakan Umrah. Bagaimanapun saya dimaklumkan Presiden parti bahawa
proses perbincangan berjalan baik dan lancar. Cuma kita perlu perkemas
sedikit sahaja lagi kerana pada masa sama kita mahu fokus memastikan
semua perbincangan ke arah PRU14 itu juga berjalan baik dan lancar.
"Saya kira sekarang mood raya masih ada jadi pimpinan masih ada
dikawasan masing untuk bersama-sama menyantuni rakyat. Selesai syawal
nanti kita boleh kemukakan struktur yang jelas termasuk perkara-perkara
berkaitan PRU14," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan