KEDILAN DAILY
Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat agar tidak berharap kepada negara-negara Barat untuk mendakwa Datuk Seri Najib Razak susulan pelbagai skandal rasuah yang terpalit pada dirinya.
Bekas perdana menteri itu berkata, sikap ‘talam dua muka’ negara-negara tersebut jelas apabila mereka menyambut Najib yang berkunjung ke negara mereka baru-baru ini seperti biasa walaupun berita tentang skandal Najib diketahui ramai.
“Rakyat Malaysia percaya kerajaan Barat yang begitu menentang perasuah-perasuah di dunia akan pulau Najib sekurang-kurangnya.
“Amatlah mengecewa dan mengejutkan apabila dilihat jaguh-jaguh antirasuah Barat sanggup menjemput Najib untuk melawat negara mereka dan mengadakan perbincangan dengannya.
“Sebabnya ialah kerana Najib menawar untuk membeli pesawat komersial dan senjata mereka. Yang mengabur mata mereka ialah duit berbillion yang dikipas depan mata mereka,” katanya dalam tulisan di blog beliau.
Menurut Mahathir, janji-janji Najib untuk menghantar wang yang banyak ke negara-negara tersebut dalam lawatannya juga adalah satu bentuk ‘rasuah’.
“Bahawa ini adalah sejenis rasuah tidak dipedulikan. Segala rasuah dan jenayah Najib diketepikan kerana wang tunai atau cash lebih utama dari kemuliaan maruah dan prinsip.
“Maka dilakukan apa sahaja yang disyaratkan oleh Najib asalkan duit didapati. Demikian jikalau Najib tidak suka press, maka press diketepikan.
“Di mana perginya kebebasan akhbar? Ke dalam tong sampah. Ke mana pergi kebebasan bersuara? Photo-opportunity untuk Najib tipu rakyat Malaysia dipersetujui kerana bayaran USD 20 billion duit orang miskin di Malaysia,” tulisnya.
Tulisan Dr Mahathir ini diterbitkan selepas Najib melawat White House awal bulan ini untuk bertemu Presiden Donald Trump.
Selepas Washington, Najib berkunjung ke London untuk bertemu Perdana Menteri Theresa May.
Ketika pertemuannya dengan Trump, Najib antara lain berkata Malaysia akan membeli 33 hingga 58 buah kapal terbang Boeing dengan nilai AS$10-20 bilion, selain Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menggandakan pelaburan di sana.
Najib dikaitkan media antarabangsa kepada korupsi yang menyelubungi syarikat pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang disiasat beberapa buah negara.
Di AS, Jabatan Kehakiman Negara (DoJ) sebelum ini memfailkan saman sivil untuk merampas aset bernilai lebih AS$1.7 bilion, dan baru-baru ini menangguhkan saman sivil itu untuk melancarkan siasatan jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan