BANGI
– Meskipun berbeza pegangan agama, namun ibu bapa Muhammad Syazwan
Menon,29, bangga dengan kejayaan anak mereka apabila dinobatkan sebagai
penerima Anugerah Saudara Mithali sempena sambutan Maal Hijrah 1439
peringkat negeri Pulau Pinang, baru-baru ini.
Muhammad
Syazwan ketika ditemubual Ismaweb berkata, beliau bersyukur dengan
anugerah berkenaan sekali gus mendedikasikan kejayaan beliau khusus
kepada kedua orang tuanya itu.
“Ibu dan
ayah saya yang juga hadir pada hari majlis anugerah berkenaan,
menzahirkan perasaan bangga mereka terhadap anugerah yang diterima itu.
“Terlalu
ramai insan yang saya ingin dedikasikan anugerah ini, mereka-mereka yang
sentiasa di belakang dan sisi saya dalam membantu memberi dorongan
serta sokongan sehingga ke hari ini,” katanya.
Bapa
kepada dua anak ini berkata, beliau pada awalnya hanya diminta mengisi
borang oleh Jabatan Agama Islam negeri itu sebagai calon penerima
anugerah.
“Menurut
mereka, saya perlu isi borang calon dan tunggu dipanggil untuk temuduga.
Namun, saya menerima panggilan daripada pihak jabatan yang memaklumkan
bahawa saya dipilih sebagai penerima anugerah itu,” katanya.
Beliau
menerima trofi, sijil penghargaan dan wang tunai berjumlah RM3,000.
Anugerah berkenaan adalah mengiktiraf dan menghargai sumbangan saudara
baru yang bergiat aktif dalam pembangunan masyarakat dan dakwah.
‘Nama Rasulullah bawa cintanya pada Islam’
Membuka
kisah saat pertama kali mengenali Islam, bapa kepada dua anak itu
berkata, keunikan nama Muhammad s.a.w menjadi punca utama baginya untuk
lebih mencari dan mendalami agama suci tersebut.
“Pencarian
kepada agama Islam itu bermula pada tahun 2003, cuma saya betul serius
untuk mendalaminya adalah pada 2004. Keinginan itu wujud selepas saya
terbaca mengenai Rasulullah s.a.w ketika berada di sekolah menengah.
“Ketika
itu kelas subjek Sejarah dan saya diminta membaca mengenai Muhammad
s.a.w. Saya membaca Muhammad s.a.w sebagai S.A.W, dan rakan yang lain
ketawakan saya. Saya pelik juga, adakah saya tersalah baca?
“Tetapi
cikgu memperbetulkan saya, dan menyebut bacaan dan maksud sebenar
ringkasan s.a.w itu sebagai ‘Salallahualaihiwassalam’. Pertama kali
mendengarnya, hati saya sejuk ia juga yang menjentik saya untuk mencari
siapa itu Muhammad.
“Bermula
dengan mengenal siapa itu Muhammad s.a.w, membawa kepada cinta saya
kepada Islam itu sendiri. Dan saya memeluk Islam secara rasmi pada
2006,” katanya.
Bercerita
lanjut, Muhammad Syazwan berkata, beliau menukar agama tanpa pengetahuan
keluarganya khususnya ibu bapa beliau ketika itu.
Setiap hari beliau terpaksa melakukan tanggungjawab sebagai seorang muslim secara sembunyi, bimbang diketahui oleh keluarganya.
Bagaimanapun
anak keempat daripada lima beradik ini berkata, segalanya terbongkar
selepas ibunya terlihat beliau ke surau, dan mengakui berlaku
perselisihan antara mereka ketika itu sehingga memaksanya untuk
meninggalkan rumah.
“Kemudian
saya ke Kelantan dan tinggal bersama keluarga angkat saya iaitu Ustaz
Zaidi Muji, yang turut menjadi individu memperkenalkan saya dengan
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
“Saya
melihat sahabat-sahabat dalam Isma berbeza dengan orang Melayu Islam
yang lain. Saat itu juga saya mula bergiat aktif dengan Isma sehingga
kini dan memegang jawatan sebagai Biro Dakwah Islamiyyat di cawangan
Isma Pulau Pinang.
“Saya nak
ucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya di Isma yang banyak
membantu saya dalam kerja-kerja dakwah ini,” katanya.
Bagaimanapun
katanya, semua itu hanyalah kisah lama yang sekadar menjadi memori
baginya. Kini, kedua ibu bapa beliau sudah mula terbuka menerimanya
sebagai seorang anak dan individu yang beragama Islam.
Meskipun
kedua-duanya belum membuka hati memeluk agama Islam, namun sebagai anak
yang kasih kepada mereka pastinya Muhammad Syazwan tidak berhenti
menitipkan doa supaya orang tuanya turut sama mengikut jejaknya satu
hari nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan