HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 September 2017

Fauziah Salleh Bakal Gulung Tikar Bantal ? – Dr Kamarul

 
 



Tertarik dengan laporan berita BERNAMA mengenai pengumuman Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, di Kota Bharu semalam bahawa PAS berhasrat untuk bertanding di kerusi P83 Kuantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 “kerana melihat ada peluang di kawasan berkenaan memandangkan parti itu kini menguasai Dewan Undangan Negeri Beserah dan Tanjung Lumpur yang berada dalam Parlimen berkenaan”.

Sebenarnya terdapat sedikit kesilapan fakta di dalam laporan berita BERNAMA ini kerana sementara benar N15 Tanjung Lumpur, yang dimenangi oleh Rosli Abdul Jabar dari PAS, adalah kerusi DUN di bawah P83 Kuantan, N12 Beserah, yang dimenangi oleh Andansura Rabu dari PAS, pula adalah kerusi DUN di bawah P82 Indera Mahkota.

Dua kerusi DUN lain di bawah P83 Kuantan ialah N14 Teruntum yang dimenangi oleh Sim Chon Siang dari PKR dan N16 Inderapura yang dimenangi oleh Dato’ Shafik Fauzan Sharif dari BN manakala satu kerusi DUN lain di bawah P82 Indera Mahkota ialah N13 Semambu yang dimenangi oleh Lee Chean Chung dari PKR.

Apa pun, pengumuman Setiausaha Agung PAS sendiri mengenai hasrat PAS untuk bertanding di kerusi P83 Kuantan ini boleh menggegarkan jantung penyandangnya, Fuziah Salleh, dari PKR kerana ia melambangkan keseriusan hasrat itu berbanding kenyataan PAS Pahang atau PAS Kuantan.

Ini kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, Fuziah, yang menang dengan majoriti sebanyak 4,515 undi ke atas calon BN, Datuk Mohd Suffian Awang (Fuziah memperolehi sebanyak 25,834 undi manakala Datuk Mohd Suffian pula memperolehi sebanyak 21,319 undi), disokong kuat oleh PAS.

Kini, dengan kemasukan calon PAS di kerusi P83 Kuantan, maka sudah hampir pastilah yang Fuziah akan gulung tikar bantal dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Harapnya Fuziah tidak akan kata apa kepada PAS kerana beliau sendiri pun sebelum ini terlebih dulu mencari balah dengan PAS melalui beberapa kenyataan panas beliau.

*Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).


Tiada ulasan: