GEORGETOWN: Hujan lebat sejak pukul 3 pagi hari ini menyebabkan
beberapa kawasan di sekitar Pulau Pinang sekali lagi mengalami banjir
kilat, pokok tumbang dan tanah runtuh, lima hari selepas negeri itu
dilanda banjir teruk Jumaat lepas.
Banjir kilat hari ini menyebabkan lebih 50 kawasan dinaiki air,
kebanyakannya di sebelah Seberang Perai antaranya Jalan Bukit Tengah;
Taman Mutiara; Jalan Tembikai; Bukit Mertajam; Taman Usaha; Lorong
Usahajaya; Taman Senangin; Taman Nibong Tebal; Jalan Bukit Teh; Kampung
Baru Sungai Bakap; Kampung Sethu; Lorong Janggus; dan Taman Sukun.
Kawasan yang terjejas di bahagian pulau pula ialah Balik Pulau; Gertak
Sanggul; Teluk Kumbar; Sungai Batu; Bayan Baru; Paya Terubong; Air Itam;
dan Bayan Lepas.
Banjir kilat mengakibatkan kawasan terlibat dinaiki air sedalam 0.7m hingga 1.6m dan lebih 100 rumah turut dinaiki air.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang Pang Ah Lek
berkata seramai 108 mangsa membabitkan 34 keluarga dipindahkan ke Pusat
Pemindahan Banjir di Dewan Masyarakat Teluk Kumbar setelah rumah mereka
dinaiki air.
“Pihak APM sedang memantau kawasan banjir kilat bagi memastikan tiada
mangsa terperangkap dan dapat dipindahkan segera jika rumah mereka
dinaiki air. Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan dan air
laut akan pasang besar yang kemuncaknya pada pukul 12 tengah hari.
“Setakat ini keadaan banjir terkawal dan kami akan terus memantau,” katanya dipetik agensi portal berita.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan
Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow berkata tahap air di
Sungai Pinang kini melebihi paras bahaya dengan bacaan melebihi 2.9m
berikutan hujan sejak awal pagi tadi.
Beliau berkata keadaan air laut kini menunjukkan pasang surut dan jika hujan sederhana, paras air sungai tidak akan melimpah.
“Kerajan negeri sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi menghadapi banjir kilat kali ini,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan