SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi memutuskan 25 Oktober ini sebagai penentuan
sama ada Rafizi Ramli dan kerani bank, Johari Mohamad dibenarkan membela
diri atau tidak.
Kedua-dua mereka didakwa mendedahkan penyata akaun bank Pengerusi
Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri
Mohamad Salleh Ismail pada 2012.
Dakwaan terhadap Rafizi dan Johari dibuat mengikut Seksyen 97 Akta Bank
dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) yang membawa hukuman penjara
maksimum 3 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika
sabit kesalahan.
Naib presiden PKR itu diwakili Ahmad Nizam Hamid, manakala Latheefa
Koya mewakili Johari yang menafikan dirinya terlibat dalam mencetak apa
jua dokumen berkaitan NFC dan Salleh.
Pada 31 Oktober 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Rafizi
membayar ganti rugi RM200,000 kepada NFCorp dan Salleh kerana
memfitnah. Mereka juga diberikan kos RM100,000.
Rafizi mengeluarkan kenyataan yang mendakwa syarikat itu menggunakan
dana kerajaan sebagai pengaruh untuk mendapatkan pinjaman bagi pembelian
8 hartanahnya.
Susulan itu, ahli Parlimen Pandan itu pada 3 Ogos lalu mengumumkan
kutipan sumbangan lebih RM1.5 juta daripada orang ramai melalui
rayuannya untuk membayar kos dan ganti rugi kepada NFC.
Rafizi dilaporkan berkata, seramai 7,435 penderma daripada pelbagai
lapisan masyarakat membalas rayuannya dengan menyumbang RM1,585,014.49
hanya dalam tempoh 10 hari.
Jumlah itu 5 kali ganda lebih banyak daripada wang yang diperlukan untuk membayar NFC.
Katanya, RM300,000 akan diserahkan kepada peguamnya untuk membayar NFC,
manakala selebihnya digunakan membiayai operasi Invoke – badan kajian
diketuainya yang mengendalikan kempen di 50 kerusi Parlimen marginal di
seluruh negara dengan purata belanja bulanan RM300,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan