PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) perlu mendesak DAP
mempamerkan senarai nama yang layak mengundi dalam pemilihan semula
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) berdasarkan senarai pada 2012 di
dalam akhbar serta portal berita tempatan.
Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Taman Ehsan, Klang, L. Pannerselvam
berkata, langkah tersebut diyakini dapat memastikan pemilihan yang bakal
dilaksanakan parti itu dibuat secara telus dengan kesahihan senarai
nama perwakilan tidak dipertikaikan.
Dalam masa sama Pannerselvam berkata, beliau mewakili ahli akar umbi
DAP juga menolak sebarang usaha penipuan, pemalsuan atau taktik licik
beberapa kumpulan tertentu yang merancang mencemarkan pemilihan yang
dijangka diadakan awal bulan hadapan.
“Hari ini saya bersama dua lagi ahli akar umbi parti turut menghantar
memorandum kepada RoS untuk meminta jabatan itu mengeluarkan arahan agar
DAP mempamerkan senarai nama 2,576 perwakilan layak mengundi di dalam
akhbar serta portal berita tempatan.
“Kami juga mahu proses pengiraan undi semasa pemilihan itu dilakukan
secara telus serta dibuat di hadapan semua perwakilan dan bukannya
dibawa keluar ke bilik lain seperti diamalkan sebelum ini,” katanya di
sini semalam.
Dua ahli DAP yang hadir ialah bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar,
Pulau Pinang, G. Asoghan dan Timbalan Pengerusi DAP Taman Murni Sepang,
A. Thirumalvalavan.
Menurut Pannerselvam, senarai nama 2,576 perwakilan itu perlu
dipamerkan berserta MyKad serta cawangan masing-masing bagi mengelak
adanya penipuan termasuk pengundi hantu semasa pemilihan tersebut.
“Dalam pemilihan CEC pada 2013 dikatakan terdapat kira-kira 120
cawangan tambahan sebagai pengundi hantu. Kami sudah hilang kepercayaan
kepada DAP untuk adakan pemilihan tanpa pamerkan senarai nama yang
sahih,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan