PUTRAJAYA: Kira-kira 200 orang berketurunan Bugis berhimpun di
perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini menuntut Tun Dr Mahathir
Mohamed memohon maaf kerana didakwa menghina bangsa mereka.
Bekas perdana menteri itu pada himpunan Anti-Najib Sabtu lalu menyebut
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkemungkinan berasal dari
lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Jurucakap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Tasman Matto berkata
jika Dr Mahathir gagal berbuat demikian, laporan polis akan dibuat dalam
masa terdekat.
Tasman yang juga Timbalan Presiden Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis
Melayu Malaysia bertegas Dr Mahathir sebagai seorang negarawan dan
pemimpin yang memimpin negara selama 22 tahun, beliau tidak sepatutnya
membuat kenyataan menghina sebegitu.
“Beliau harus faham kita ada berapa Srikandi, tokoh Bugis. Kita punya
Raja-Raja pun ada yang berketurunan Bugis. Hentikan (bercerita) pasal
perkauman di Malaysia. Hentikanlah. Kalau Malaysia mahu maju, hentikan
soal suku kaum. Kita satu Malaysia, satu rumpun.
“Beliau pun berkecimpung dalam politik. Bagaimana orang Bugis mahu
menyokong. Sudah tentu orang Bugis takkan menyokong. Orang Bugis takkan
sokong ‘barisan’ itu. Sekarang ini tengah meluap-luap kemarahannya,”
katanya kepada pemberita di hadapan Yayasan Kepimpinan Perdana di
Putrajaya, di sini hari ini.
Tasman berkata Dr Mahathir dan Pakatan Harapan kini boleh melupakan
hasrat untuk mendapat sokongan keturunan Bugis pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) akan datang.
“Bagaimana anak sekarang mahu menyanjung terus beliau. Bagaimana kita
mahu menyanjung beliau jika ucapan seumpama ini seringkali di
corong-corong radio ataupun ucapan di dalam arena politik beliau.
“Beginikah seorang negarawan, yang bercakap soal kesukuan? Sepatutnya ini tidak berlaku,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan