SHAH ALAM: Suspek yang didakwa mendalangi ancaman keselamatan terhadap
pesta arak, Better Beer Festival mahu 'mengajar' Malaysia, yang padanya
sudah jauh tersimpang daripada peranannya sebagai negara Islam.
Suspek yang berusia 19 tahun itu tidak mempunyai rangkaian dengan
mana-mana militan dipercayai bertindak sendirian, menjadikan ia lebih
berbahaya.
"Dia mahu mengajar Malaysia dan ini mendorongnya untuk belajar
bagaimana membuat bom," kata sumber portal The Malaysian Insight.
Remaja pembuat bom dan dua rakannya adalah bekas anggota tentera dan
pekerja pembinaan – merancang untuk meletupkan "Better Beer Festival" di
Kuala Lumpur, tempat ibadat bukan Islam dan KLCC, tempat minuman keras
dijual secara terbuka.
Mereka ditangkap di Pasir Puteh, Kelantan pada Rabu, hari yang sama
mereka menguji dua alat peledak yang sudah diubah suai (IED).
Satu daripadanya berjaya meletup manakala satu lagi gagal berfungsi semasa "sesi ujian".
Pada sidang akhbar semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun
berkata IED remaja itu dengan mudah boleh membunuh mereka yang berada
dalam lingkungan radius 20m hingga 30m.
Sumber berkata remaja, yang merupakan pelajar Tingkatan Enam di Pasir
Puteh yang sepatutnya menduduki peperiksaan STPM pada 6 November adalah
dalang kepada perancangan itu.
Remaja berkenaan berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana dan merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik.
Ayahnya adalah muazin surau, sementara ibunya suri rumah.
"Dia bijak. Dia tahu apa yang perlu dicari (tutorial membuat bom)," kata sumber itu.
"Dia begitu pintar sehingga mampu membina IED sendiri. Dia teliti. Cara
peranti dihasilkan menunjukkan dia tahu fungsi peranti itu dengan
baik," tambah sumber itu.
Remaja itu juga menghabiskan masa membuat nota dan melukis segala apa yang dipelajarinya.
Polis juga merampas beberapa IED, paip PVC, penyumpit rekat (glue gun), mercun dan beberapa telefon bimbit.
Difahamkan selain serbuk karbida yang menjadi bahan utama IED, remaja
itu juga menggunakan galas bebola (ball bearing) bagi memberi lebih
kesan kepada letupan.
Keupayaan remaja untuk memahami butiran rumit dan kerja-kerja mekanikal
dalam membina bahan letupan mengingatkan penyiasat kepada pakar bom Dr
Azahari Husin yang menjadi dalang kejadian pengeboman Bali pada 2002.
Azahari, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, terbunuh pada
2005 semasa pihak polis melakukan serbuan di tempat persembunyiannya di
Kota Batu, Indonesia.
"Ini adalah kebimbangan paling besar. Melihat bagaimana terperinci
lukisan dan IED yang dibuatnya, ia mengingatkan kami kepada Dr Azahari,"
kata sumber itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan