KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan 42 pertukaran
dan penyelarasan pegawai kanannya yang akan berkuat kuasa pada 9
November ini, lapor Bernama.
Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urus Setia Ketua Polis Negara
(KPN) Bukit Aman, ACP Datin Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan,
pertukaran itu antara lain melibatkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang dilantik
sebagai Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi Bukit Aman yang
baru.
Tempat beliau diambil alih Datuk Amar Singh Ishar Singh yang sebelum ini merupakan ketua polis Kuala Lumpur.
Kenyataan itu turut memaklumkan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk
Mazlan Lazim akan dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis (CP) dengan
memegang jawatan ketua polis Kuala Lumpur yang baharu.
Jawatan Mazlan pula akan disandang oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zainuddin Yaacob.
Sementara itu, antara yang turut bertukar Timbalan Pengarah Pengurusan
(Perkhidmatan/Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan dan Perjawatan Jabatan
Pengurusan Bukit Aman Datuk Fatimah Abd Hamid ditukarkan ke Jabatan
Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bukit Aman sebagai Timbalan
Pengarah (Perancangan Strategik).
Fatimah menggantikan DCP Omar Mammah yang ditukarkan ke Kontinjen Perak sebagai Timbalan Ketua Polis Negeri.
Timbalan Pengarah Jenayah Sindiket, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit
Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin bertukar jawatan sebagai Timbalan
Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Jawatan Saiful diambil alih oleh Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan.
Menurut kenyataan itu, Ketua Penolong Pengarah Pasukan Tindakan Khas
Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Skuad Taktikal Khas 3,
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali
bertukar jawatan sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Maktab
PDRM Kuala Lumpur.
Jawatan Muhammed Hasbullah akan digantikan Ketua Jabatan Siasatan dan
Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Nadzri Hussain dengan
memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin dan Timbalan Komander
Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan
Ketenteraman Awam Ulu Kinta, Perak, ACP Abdul Ghani Mohamad Ji pula
bertukar jawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan