shahbudindotcom
Satu
keburukan paling nyata kepada rakyat jelata yang disebabkan UMNO tidak
pernah kalah sejak pilihanraya pertama pada 1955 ialah parti itu dan
pemimpinnya merasakan negara ini adalah kepunyaan mereka.
Ketika
sedang memegang kuasa, tidak saja segala-galanya seperti masjid,
sekolah, harta kerajaan, wang rakyat dan sebagainya umpama hak mereka,
semasa pilihanraya pula akan selalu terdengar gambaran seolah-olah
mengalahkan UMNO adalah sama dengan menumbangkan kerajaan.
Keadaan
itu sebenarnya tidak baik kepada rakyat. UMNO hanyalah parti yang
diberi kuasa mentadbir kerajaan secara sementara, tetapi yang berkuasa
selama-lamanya adalah rakyat dan pengundi.
Setiap
lima tahun apabila pilihanraya diadakan, rakyat mesti memilih semula
kerajaan baru untuk lima tahun berikutnya dan begitulah seterusnya. Ini
bermakna tuan sebenar adalah rakyat dan parti-parti yang bertanding,
termasuk UMNO, perlu mendapat mandat baru dalam pilihanraya yang
diadakan itu.
Jika
parti yang menguasai kerajaan itu memuaskan hati dan menjaga kebajikan
rakyat, kemungkinan ia dipilih semula adalah tinggi. Sebaliknya, kalau
khianat dan tidak amanah kepada kuasa yang dipegang itu, rakyat biasanya
akan memilih parti lain sebagai pengganti.
Tidak
dinafikan UMNO ketika dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun
Hussein Onn atau Tun Mahathir, ada jasa-jasa tertentu yang mereka
lakukan yang menyebabkan mereka sentiasa dikenang, selain keutamaannya
ialah menjaga kepentingan rakyat. Hak rakyat sentiasa dipelihara sambil
negara dibangunkan berdasarkan era serta kemampuan masing-masing.
Itulah antara sebab dan penyumbang kekalnya UMNO tanpa henti-henti berkuasa sejak sebelum merdeka lagi.
Tetapi,
UMNO ketika era Najib Razak ini sudah terlalu jauh berbeza. Selain hak
rakyat tidak dijaga, berlakunya begitu banyak skandal sehingga menjadi
sebutan dan siasatan di pelbagai negara telah menjadikan UMNO tidak
layak lagi untuk terus diberikan kuasa dalam negara ini. Negara yang
dulu harum sudah jadi busuk disebabkan oleh Najib.
Di
pelbagai negara lain, pemimpin seperti Najib ini sudah lama "ditendang"
daripada puncak kuasa. Beberapa negara jiran kita dan negara-negara
Arab misalnya, mereka lebih dulu tidak rela mempunyai pemimpin yang
penuh skandal, banyak membazir dan ghairah kepada kemewahan atas nama
kuasa yang rakyat berikan.
Tetapi,
oleh kerana UMNO mempunyai sejarah kuasa yang agak panjang dan
dengannya merasakan negara ini mereka yang punya, bukan saja pemimpin
yang penuh skandal itu tidak sedar diri, para penyokong dan pengikutnya
juga sama begitu.
Mereka
kini mempertahankan UMNO untuk terus berkuasa bukan lagi untuk menjaga
kebajikan atau kepentingan rakyat, sebaliknya lebih untuk mengelakkan
pemimpinnya daripada diadili dan didakwa atas kecurangan besar yang
dilakukannya itu.
Selepas kekal berkuasa, tidak mustahil kecurangan yang lebih besar akan terus berlaku dan berlaku lagi tanpa titik noktahnya.
Setelah
beberapa kali pilihanraya umum diadakan, PRU 14 akan datang adalah
satu-satunya peluang terbaik untuk rakyat menukar kerajaan dan
seterusnya menyedarkan UMNO bahawa negara ini bukan mereka yang punya.
Selain
kerana alternatifnya iaitu Pakatan Harapan sedang berada di landasan
yang betul dan dipimpin oleh Tun Mahathir yang pernah memberi kebahagian
dan dan kesejahteraan selama 22 tahun kepada kita sebelum ini,
kelebihan kepada perubahan juga disebabkan Perdana Menteri dan Presiden
UMNO sekarang mempunyai reputasi dan imej paling buruk dalam sejarahnya.
Gagal
menukar parti yang menguasai kerajaan dalam pilihanraya akan datang
samalah seperti mengekalkan bala bencana yang sudah sedia ada.
Negara
akan menjadi lebih baik dan rakyat turut menerima lebih manfaat jika
perubahan kerajaan dan parti yang memegang kuasa mudah bertukar ganti.
Parti yang terlalu lama memerintah dan sukar bertukar ganti biasanya
hanya menggalakkan gejala rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan
samunan terhadap harta rakyat semata-mata.
Parti
yang mudah bertukar ganti untuk menguasai kerajaan akan menyebabkan
masing-masing berlumba untuk memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada
rakyat. Pemimpinnya pula lebih takut untuk melakukan kesalahan kerana
bimbang ia akan dibongkar dan diadili oleh pihak yang berkuasa
selepasnya.
Malaysia,
didorong oleh gejala buruk dan kecurangan besar yang dilakukan oleh
UMNO ketika ini, sudah sampai waktunya kita harus berani melangkah ke
arah perubahan. Bukan UMNO tidak ada jasanya, tetapi kesalahan dan
pelbagai gejala buruk di era Najib ini jauh lebih besar dan tidak boleh
dibiarkan lagi, berbanding jasa masa lalunya.
Dengan
parti boleh bertukar ganti, tidak saja UMNO akan sedar bahawa negara
ini bukan mereka yang punya, malah akan menyebabkan bermulanya era
berlumba-lumba di kalangan parti-parti yang bertanding untuk menawarkan
yang terbaik kepada rakyat.
Jika
selepas berkuasa, Pakatan Harapan tidak menjadi sebaik yang dijanjikan,
ia boleh dan lebih mudah dikalahkan dalam pilihanraya berikutnya. Kalau
UMNO ketika itu sudah insaf dan dibarisi pemimpin-pemimpin yang boleh
diharapkan, kuasa boleh dikembalikan semula kepadanya.
Yang
penting, keadaan itu dapat mengukuhkan lagi keyakinan rakyat betapa
Malaysia ini milik mereka dan siapa yang mahu diberi kuasa untuk
menguruskannya juga adalah kebebasan mereka menentukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan