SERUAN Penasihat DAP
Lim Kit Siang baru-baru ini terhadap ketua-ketua jabatan atau agensi
awam agar mereka tidak tunduk kepada tekanan YAB Perdana Menteri Dato’
Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Ianya hanyalah satu lagi siri permusuhan yang dicipta antara parti itu
dengan pegawai dan kakitangan awam sejak sekian lama.
Kalau kita masih ingat pada tahun yang
lalu, Setiausaha Publisitinya yang juga merangkap Ahli Parlimen Petaling
Jaya Utara, Tony Pua pernah mengibaratkan perkhidmatan awam sebagai
‘biawak hidup’ lantaran peruntukan tinggi yang diterima kumpulan pekerja
ini dalam Bajet 2017. Beliau juga menyifatkan perkhidmatan awam sebagai
sudah terlebih bilangannya berbanding negara lain selain menyarankan
agar sebahagian besar daripada mereka tidak lagi perlu bekerja bagi
menangani masalah lambakan penjawat awam.
Cadangan Tak Masuk Akal
Pada Oktober tahun lalu juga, kita juga
disajikan dengan satu lagi cadangan merepek yang dikemukakan oleh sebuah
badan pemikir kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP, Penang
Institute. Dalam kenyataannya tahun lalu, Penang Institute menggesa
kerajaan agar melakukan reformasi atau mengecilkan saiz perkhidmatan
awam bagi mengurangkan defisit belanjawan. Menurut badan tersebut,
tindakan itu juga secara tidak langsung bakal melepaskan bakat dan
sumber sedia ada kepada sektor swasta.
Mengambil contoh nisbah Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) terhadap jumlah penjawat awam di negara maju seperti
Jerman, Penang Institute mendakwa KDNK Malaysia yang berjumlah sekitar
AS$375 bilion bermakna negara hanya memerlukan sejumlah 430,000 penjawat
awam.
Tentunya cadangan sebegini langsung
tidak masuk akal. Malah, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja
Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda sendiri menyifatkan
cadangan tersebut sebagai tidak boleh dipakai. Dan atas kapasiti apa
pula Penang Institute melontarkan cadangan tersebut?
Bayangkan jika cadangan tersebut diambil
kira, dengan jumlah terkini penjawat awam seramai 1.6 juta orang,
apakah nasib yang bakal menimpa sejumlah 1.2 juta penjawat awam yang
lain jika hanya sejumlah 430,000 pegawai dan kakitangan yang dikekalkan?
Cadangan ‘pelik’ ini tidak jauh berbeza
dengan cadangan ‘Projek Khas Mengurangkan Kakitangan Awam’ yang pernah
dipelopori Pua pada 2011. Melalui projek ini, DAP berhasrat untuk
mengurangkan separuh penjawat awam daripada jumlah yang sedia ada. Entah
apa masalah DAP, ada sahaja alasan dan helahnya mahu mencari pasal
dengan penjawat awam. Adakah parti itu berasa begitu dengki dan meluat
dengan perkhidmatan yang banyak dianggotai orang Melayu? Kita masih
kurang pasti.
Ancaman Pemikiran DAP
Lalu timbul persoalan, apakah langkah
‘membuang’ sebahagian besar penjawat awam ini satu alternatif yang cuba
ditawarkan DAP bagi menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
yang ingin mereka hapuskan? Jika inilah penyelesaian yang mereka
tawarkan, maka memilih mereka untuk membentuk kerajaan kelak bakal
menjadi satu kesilapan paling besar yang kita lakukan. Mengikut
perkiraan dan congakan ini, tidak mustahil juga untuk kita melihat
sebahagian agensi awam dibubarkan sebagai satu bentuk ‘penjimatan’
kepada mereka.
Inilah pola dan corak pemikiran DAP yang
patut kita lihat sebagai ancaman. Kritikan dan cadangan
‘penambahbaikan’ yang mereka bawa seolah-olah menganggap perkhidmatan
awam itu sebagai satu bentuk bebanan kepada negara. Sikap mereka dalam
hal ini juga dari satu segi menunjukkan bagaimana mereka melihat
peruntukan puluhan billion ringgit yang diterima sektor awam saban tahun
sebagai pembaziran.
Masalah Kit Siang Dengan SPRM
Provokasi DAP terhadap penjawat awam
nampaknya tidak pernah berhenti. Mengambil contoh terbaru, DAP dan Kit
Siang sendiri nampaknya begitu lantang mengkritik Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Dzulkifli
Ahmad. Kit Siang mendakwa bahawa semua mata kini sedang memerhatikan
suruhanjaya itu dan mempersoalkan samada Dzulkifli dapat memimpin badan
anti-rasuah yang bersih.
Kira-kira seminggu yang lalu, Kit Siang
dilaporkan berkata Dzulkifli akan menjadikan SPRM sebagai agensi
anti-rasuah kleptokratik pertama di dunia sekiranya beliau bertindak
seperti monyet yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat, ada
telinga tetapi tidak mendengar dan ada mulut tetapi tidak berbicara. Kit
Siang berkata demikian lantaran perasan tidak puas hati beliau terhadap
perkembangan siasatan ke atas skandal 1MDB.
Tindakan Kit Siang dan DAP amnya yang
tidak henti-henti menyerang perkhidmatan awam sememangnya melampau,
tidak beradab dan tidak bertamadun. Di sebalik kejayaan demi kejayaan
yang ditempa SPRM dalam membanteras rasuah sejak lebih setahun yang
lalu, DAP seolah-olah sengaja mencari helah untuk terus memburukkan
agensi itu dalam usahanya untuk terus menjatuhkan imej Najib sebagai
perdana menteri.
Sokongan Penjawat Awam dan Kerisauan DAP
Melihat kepada trend semasa, DAP
tampaknya agak risau mengenai tahap sokongan penjawat awam terhadap
Pakatan Harapan (PH), apatah lagi dengan mengambil kira faktor positif
yang berjaya Najib wujudkan sewaktu Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan
Awam (MAPPA) ke-15 baru-baru ini. Gesaan Kit Siang agar ketua-ketua
agensi awam tidak tunduk kepada Najib hanya memperlihatkan kejahilannya
mengenai di mana letaknya fungsi dan kesetiaan perkhidmatan awam.
Jika Kit Siang berhajat untuk ‘mengajar’
penjawat awam, maka beliau perlu sedar bahawa penjawat awam kini sudah
lebih bijak untuk mengimbangi pengaruh politik dalam tuntutan kerja
mereka. Apa yang penting sekarang buat Kit Siang dan partinya adalah
mereka perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina
kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam kerana kelompok ini jugalah
yang akhirnya akan kekal berada di situ memberikan perkhidmatan kepada
rakyat walau pihak mana pun yang membentuk kerajaan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan