PADANG TERAP: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan
isu bendera dan lagu Umno yang dimainkan di Sekolah Kebangsaan Presint
14, Putrajaya pada Selasa lalu sebagai bersifat politik.
Sebaliknya ia merupakan sebahagian aktiviti sempena meraikan sambutan
Hari Kebangsaan, di mana pihak sekolah mahu memberi pemahaman berkaitan
perjalanan negara untuk mencapai kemerdekaan.
"Negara kita merdeka hasil perjuangan Umno dengan dibantu oleh MCA dan
MIC. Ini dapat dilihat apabila Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu
memegang jawatan Presiden Umno pergi ke London untuk memperoleh
kemerdekaan negara," katanya.
Mahdzir ditemui selepas Program Ziarah Kasih di Padang Terap hari ini.
Mahdzir berkata terpulang kepada pihak pembangkang untuk membuat
pelbagai tanggapan sedangkan mereka sedar bahawa Umno, MCA dan MIC
merupakan tonggak kepada kemerdekaan Malaysia.
Sementara itu Mahdzir menjawab cadangan supaya mewujudkan sekolah atau
kelas khas peralihan kepada pelajar-pelajar yang bermasalah yang
menyebabkan mereka dipaksa untuk dibuang sekolah.
"Kita tidak perlu buka sekolah untuk kumpulkan pelajar-pelajar
bermasalah. Tindakan buang sekolah ini juga masih relevan untuk diguna
pakai terhadap pelajar yang mempunyai masalah disiplin tetapi bukanlah
boleh main buang sekolah begitu sahaja.
“Jika perlu, tindakan buang sekolah itu akan diambil sebagai langkah terakhir," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan