Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain
menasihatkan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos agar
menjual ikannya di pasar.
Menurut Mohd Azizi, ia berdasarkan faktor kesesuaian lokasi tambahan
pula Padang Timur menjadi lokasi untuk Himpunan Sayangi Malaysia
Hapuskan Kleptokrasi esok.
"Khususnya berkenaan ikan, ikan kena jual di pasar. Kalau misal kata di
pasar malam, pasar malam pun kita bagi permit," katanya kepada
Antarapos.
Beliau dalam pada itu berkata, sekiranya Jamal memohon permit untuk
meniaga, pihaknya akan meneliti beberapa aspek terlebih dahulu sebelum
memberi kelulusan.
"Orang selalu meniaga ikan di mana? Di pasar, pasar pagi, pasar malam.
Ini pula di padang, kebetulan pula ada penganjur nak buat himpunan. Kita
lihat ia tak sesuailah. Tapi dia boleh memohon (permit), tak ada
masalah. Cuma kita akan lihat kesesuaian," katanya.
Beliau juga memaklumkan setakat ini pemimpin Gerakan Baju Merah itu tidak lagi memohon permit kepada MBPJ.
MBPJ boleh halau Jamal
Ujar Mohd Azizi, pihak MBPJ boleh mengambil tindakan penguatkuasaan
terhadap Jamal ekoran kegagalannya menuruti prosedur dan peraturan,
termasuk berdepan dengan tindakan dihalau dari lokasi.
Terdahulu Jamal yang dipetik Malaysiakini dalam reaksinya pada hari ini
bertegas mahu meneruskan niatnya menjual ikan sewaktu himpunan
anti-kleptokrasi tersebut esok.
Jamal malah mencabar datuk bandar itu untuk turun ke padang berkenaan, dan mahu 'menyiram' air ikan kepada beliau.
"Bagi saya setakat nak jual ikan, nak minta permit apa benda. Setakat
nak jual ikan dua, tiga jam nak bagi orang ramai, berkhidmat pada orang
ramai, tak perlulah (minta permit)," katanya dipetik daripada portal
itu.
"Sebagai rakyat, kita memang terikat dengan undang-undang. Kalau misal
kata berkenaan dengan perniagaan, kita kena dapat lesen, permit daripada
pihak berkuasa tempatan. Dalam kes ini kena pohoh kepada MBPJ kerana
nak buat di Padang Timur.
"Sebagai rakyat, peniaga, mohon lesen. Itu saja nasihat saya," katanya lagi.
Himpunan ‘Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptorasi’ anjuran pakatan Harapan
(PH) merupakan kemuncak kepada siri jelajah gabungan itu di seluruh
negara.
Perhimpunan yang dijangka bermula jam 4 petang hingga tengah malam,
akan menampilkan penceramah daripada gabungan pembangkang, termasuk
Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan presidennya, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail.
Sungguhpun mendapat larangan pihak polis ekoran bakal mewujudkan
masalah kesesakan lalu lintas, MBPJ memberi kebenaran kepada penganjur
untuk menggunakan padang itu sebagai lokasi.
Walau bagaimanapun, pihak MBPJ memberitahu akan menghantar pegawai
penguatkuasanya untuk memantau dan menjaga keselamatan di lokasi sewaktu
himpunan berlangsung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan