JOHOR BAHRU: Jenazah Shyzlin Hathaman dijangka tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada petang Selasa ini.
Perkara itu disahkan Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia (BiKUM),
Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam sidang media di rumah waris
Allahyarham di Larkin Jaya di sini, hari ini.
Katanya, BiKUM sudah mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan Wisma Putra serta kerajaan Peru berkaitan perkara itu.
"Hasil usaha dilakukan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke tanah
air dan dijangka tiba selewat-lewatnya petang Selasa ini, kecuali jika
berlaku perkara di luar jangkaan kita.
"Hari ini, proses menguruskan jenazah termasuk proses mengawet dan
menguruskan permit selain urusan mandi serta mengafan sedang giat
dilakukan pihak kedutaan untuk urusan membawa pulang jenazah ke tanah
air," katanya.
Shyzlin adalah mangsa keldai dadah yang meninggal dunia di Peru, Ahad lalu ekoran komplikasi beberapa penyakit.
Dia yang dipenjara dan terkandas di negara itu sejak lapan tahun lalu,
berasal dari Johor, menghidap beberapa penyakit termasuk asma dan
kencing manis.
Dalam pada itu Shamsul Anuar berkata, mengikut perancangan BiKUM,
sebaik tiba di KLIA, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Larkin untuk
disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh.
"Segala kos berkaitan proses membawa pulang jenazah akan ditanggung
sepenuhnya BiKUM dengan dibantu Badan Perhubungan Umno Johor.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Kaunselor
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Kedutaan Malaysia di Peru dan
Badan Perhubungan Umno Johor bagi komitmen dalam menguruskan perkara
ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan