SHAH ALAM: ADUN Tendong, Rozi Muhammad mendakwa beberapa ahli PAS yang
bertindak menyertai Umno semalam berbuat demikian selepas dikatakan
kecewa kerana gagal untuk mendapatkan 'sesuatu' daripada kerajaan
negeri.
Memetik laporan Harakah Daily, Rozi berkata impian bekas pemimpin
Cawangan PAS Kampung Paloh DUN itu untuk menyertai Umno sudah lama
didengari sebelum ini.
Malah ujarnya, individu tersebut sudah memberitahu penduduk kampung
untuk mengundang Pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed
datang ke kawasan itu.
“Tindak tanduk pemimpin terbabit tidak disenangi Cawangan PAS yang
dianggotainya. Ekoran itu mereka membuat mesyuarat menggantikannya
dengan orang lain.
“Perbuatannya melanggar disiplin parti. Cawangan membuat keputusan awal sebelum dia mengumumkan menyertai Umno," ujar beliau.
Semalam, seramai 50 ahli PAS daripada DUN Tendong dikatakan telah keluar parti untuk menyertai Umno.
Ia selepas melihat perjuangan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sudah keluar daripada landasan sebenar.
Mat Zahid Junoh, 55, yang mengetuai kumpulan itu, berkata dia menyertai
Umno atas kerelaan sendiri bersama dua anaknya kerana melihat ia lebih
membela rakyat berbanding PAS.
Mat Zahid kemudiannya menyerahkan borang menyertai Umno kepada Mustapa sempena Jamuan Rakyat di Kampung Paloh semalam.
Mengulas lanjut, Rozi bagaimanapun menafikan angka 50 ahli tersebut dan
berkata hanya sekitar lima orang keluarga bekas pemimpin itu sahaja
yang menyertai Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan