Saya bekerja sebagai wartawan Utusan
Melayu (M) Berhad mulai tahun 2001 hingga 2009, meninggalkan syarikat
itu pun kerana ‘dihalau’ buang kerja dan tak mungkin meletak jawatan
dengan sendirinya.
Tidak dinafikan, saya menimba banyak
pengalaman sebagai wartawan di syarikat tersebut selain memulakan
kehidupan berkerjaya dalam erti kata yang sebenar bersama rakan-rakan
Utusan di seluruh negara.
Semuanya menjadi pengakhiran setelah
saya mengepalai Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan
Melayu yang akhirnya menyebabkan saya dibuang kerja atas ‘kesalahan’
memfitnah syarikat dalam isu pembelian tiang gol RM360,000.
Saya berani katakan bahawa tak
mungkin saya meninggalkan syarikat itu jika tidak kerana dibuang kerja
pada 2009 kerana Utusan syarikat yang ‘maha’ hebat. Kenapa saya kata
Utusan hebat?
Masalah kewangan Utusan
Saya mulakan jawapan ini dengan
berkongsi rasa ‘kagum’ dengan Utusan setelah menjenguk laporan tahunan
syarikat itu tahun 2016, baru-baru ini dan mendapati syarikat itu
mencatatkan kerugian sebelum cukai selama lima tahun berturut-turut.
Dalam laporan tersebut, ia memetik
Utusan rugi lebih RM16 juta pada tahun 2012, diikuti rugi lebih RM20
juta tahun 2013, terus rugi RM83.65 juta pada 2014, rugi lagi lebih RM16
juta pada 2015 dan meneruskan trend kerugian tahun lalu dengan RM66.7
juta.
Di sebalik terus mengalami kerugian
tersebut, Utusan terus beroperasi dengan menerbitkan akhbar Utusan
Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad selain pelbagai
majalah antaranya Wanita, URTV, Harmoni, Al Islam, Mastika, Saji dan
Infiniti.
Walaupun jumlah edaran beberapa
akhbar dan majalah keluarannya semakin hari semakin menurun, Utusan
terus gah dengan jenamanya yang berusia berdekad lamanya serta sering
dilabel dengan pro-kerajaan semata-mata.
Dengan menerbitkan produk berkenaan,
ia menjadi periuk nasi kepada ribuan tenaga kerja syarikat itu yang
diletakkan di seluruh pelusuk negara dalam jabatan pengarang, pengurusan
dan pengilangan termasuk Sabah dan Sarawak walaupun bukan semua adalah
propemerintah.
Utusan terus gah
Jadi, Utusan itu hebat kerana,
walaupun mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta dalam tempoh
lima tahun tetapi masih mampu beroperasi dengan kapasiti maksima tanpa
sehari pun, akhbar-akhbar atau majalah keluarannya tidak berada di
pasaran.
Utusan juga hebat kerana walaupun
mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta tetapi tidak pernah
membuang pekerja secara beramai-ramai mahupun menawarkan VSS atau skim
pemberhentian sukarela bagi mengurangkan kos operasi.
Utusan lagi hebat kerana walaupun
mencatatkan kerugian terkumpul lebih RM200 juta tetapi mampu mendepani
kos guaman dan membayar denda ratusan ribu ringgit apabila kes fitnah
membabitkan syarikat itu kalah di mahkamah.
Terbaru, Menteri Besar Selangor Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali memberi Utusan tempoh 48 jam untuk memohon maaf
berhubung artikel muka depan akhbar itu yang bertajuk ‘Azmin benar pesta
arak’.
Dalam hal ini, saya cukup yakin
Utusan tidak akan meminta maaf dan sanggup berdepan Azmin di mahkamah
walaupun syarikat itu mencatatkan kerugian terkumpul RM200 juta sejak
lima tahun lalu.
Utusan juga terus gah dan mampu
membayar gaji semua kakitangannya tepat masa pada setiap bulan (hanya
sekali, dua sahaja yang terlewat sebelum ini) walaupun berhabis duit
untuk membayar peguam dan denda yang dikenakan.
Timbulnya persoalan
Justeru, ramai yang sama seperti
saya, menyimpulkan bahawa Utusan itu hebat kerana mampu terus beroperasi
pada kapasiti maksima dan masih terus mempunyai perancangan untuk
mengambil pekerja baru.
Tidak kurang juga di kalangan mereka
yang bertanya kepada saya, bagaimana Utusan mampu mencapai tahap begitu
dalam aktiviti perniagaan walaupun boleh dikatakan tenat dari segi
kewangan.
Mereka ini yang rata-ratanya golongan
usahawan tertanya-tanya bagaimana Utusan mampu untuk melangsaikan kos
bulanan terutama gaji para pekerja sedangkan jumlah edaran akhbar
tersebut semakin hari makin berkurangan.
Mereka tertanya-tanya, apakah Utusan
sebagai sebuah syarikat senaraian awam ada menerima sumber kewangan lain
yang tidak dilaporkan kepada Bursa Malaysia sehingga menjadikan
syarikat itu terus gah beroperasi.
Atau soalan yang lebih tepat, siapa
atau apa yang ‘memayungi’ Utusan dan atas tujuan apa menyalurkan dana
jutaan ringgit sebulan walaupun atas kertas Utusan dianggap kronik dan
gagal dalam perniagaan.
Mungkinkah Utusan masih menjadi
pembentuk pendapat umum atau shaping people opinion sehingga pihak yang
memayungi syarikat media tersebut mendapat manfaat daripada
berita-berita yang disiarkan oleh akhbar atau majalahnya.
Apapun jawapan atau realitinya, hanya
Allah Taala sahaja yang mengetahui dan merencanakan perjalanan ini
sehingga Utusan terus gah di persada media negara walaupun terus rugi
selama lima tahun dan dihambat persaingan akhbar dan portal media lain.
*Amran Ahmad Nor adalah anak kepada bekas pemimpin DAP Allahyarham Ahmad Nor dan bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu *Rencana asal telah diterbitkan di portal Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan