SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan Zamihan
Mat Zain, pendakwah yang mencetuskan kontroversi menerusi ceramahnya
baru-baru, adalah pegawai kader mereka yang ditugaskan di Kementerian
Dalam Negeri (KDN).
Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapah berkata Zamihan merupakan
pegawai kader Jakim di KDN yang kini ditempatkan di Penjara Kajang.
Dalam satu kenyataannya, Othman juga berkata Jakim memandangkan serius
ceramah Zamihan yang tular sejak beberapa hari lalu, yang didakwa
mengandungi unsur kritikan terhadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Beliau juga mengesahkan Jakim telah memanggil Zamihan pada pagi semalam untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
"Jakim telah memutuskan untuk merujuk perkara ini kepada lembaga
tatatertib untuk tindakan lanjut,” kata Othman dalam kenyataan itu.
Dalam satu ceramah pada Ahad lalu di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah
Alam, Zamihan dilaporkan mengkritik tindakan Sultan Johor, Sultan
Ibrahim Sultan Iskandar yang campur tangan dalam isu dobi 'mesra
Muslim', selain turut menggelarkan orang Cina sebagai 'tidak bersih'.
“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’,
dan ‘ini bukan negeri Taliban'? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam
itu.
“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid
mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak,
tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,”
demikian petikan ceramah Zamihan.
Selepas video ceramah itu tular, Zamihan mengecam laporan beberapa media yang dakwanya 'berniat jahat'.
Zamihan juga mendakwa beliau berceramah atas kapasiti sebagai Presiden
Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) dan tiada kaitan dengan Jakim
kerana tidak lagi berkhidmat dengan jabatan itu sejak 13 tahun lalu.
Zamihan bagaimanapun ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada petang semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan