PORT DICKSON: Letupan yang berlaku ditangki alat pemanas air menjadi
punca kepada runtuhan bumbung, siling dan dinding sebuah bilik di Hotel
Avillion Port Dickson di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis,
berkata pihaknya sudah melengkapkan siasatan dan laporannya sudah
diberikan kepada pengurusan hotel terbabit untuk tindakan lanjut.
"Tangki alat pemanas air yang terletak di bahagian atas siling bilik
air di unit berkenaan meletup dipercayai disebabkan kerosakan teknikal,
sekali gus menjadi punca runtuhan terbabit," katanya seperti yang
dilaporkan BH Online.
Dalam kejadian jam 4.15 pagi semalam, pasangan suami isteri
masing-masing berusia 52 dan 51 tahun cedera ringan, manakala anak
perempuan berusia 27 tahun tidak cedera apabila bumbung dan siling bilik
di tingkat enam itu runtuh.
Selain itu, pintu dan tingkap kaca unit disewa keluarga itu juga pecah,
manakala dua kereta di bawah blok terbabit mengalami kerosakan akibat
dihempap serpihan runtuhan berkenaan.
Norazam berkata, bangunan terbabit, termasuk unit lain yang berada di
tingkat yang sama dengan bilik yang terjejas, sudah disahkan selamat
untuk diduduki.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan hotel itu, Robert Lee, berkata
pihaknya sudah menjalankan pemeriksaan menyeluruh sistem pemanas air
hotel berkenaan dan mendapati semuanya berfungsi dengan baik.
"Blok bangunan menempatkan bilik yang terjejas itu bagaimanapun masih
ditutup untuk kerja penyelenggaraan dan pembersihan," katanya ketika
ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri kempen derma darah anjuran hotel berkenaan
yang disertai hampir 200 orang dengan kebanyakan mereka adalah pegawai
serta anggota tentera yang berpangkalan di Port Dickson.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan