Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Walaupun belum menguasai Putrajaya, tetapi Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berani mengguris hati
masyarakat minoriti, Bugis semata-mata demi kepentingan politik
peribadinya, demikian menurut seorang penganalisis politik.
Edwin Michael Muniandy menegaskan kenyataan mengguris hati yang
dikeluarkan mantan perdana menteri selama 22 tahun itu ketika berucap di
himpunan Anti-Kleptokrasi Sabtu lalu, dikatakan sebagai satu 'signal'
yang harus dipandang serius semua pihak.
"Perkara-perkara ini walaupun nampak begitu remeh tetapi kita perlu
fikir secara mendalam. Belum mengambil alih Putrajaya sudah bertindak
sedemikian dengan menghina kelompok minoriti ini. Apa akan berlaku
sekiranya mereka mengambil alih. Ini kita baru bercakap tentang Bugis.
Kita belum bercakap lagi kelompok lain.
"Ini menunjukkan satu signal kuat bagaimana pemimpin tertinggi
pembangkang melihat kumpulan minoriti. Bagaimana mereka memandang begitu
rendah sekali. Begitu mudah sekali memperkotak katikkan segala
pencapaian, segala keindahan dan apa yang dikatakan sebagai keagungan
budaya bangsa masyarakat Bugis ini," katanya kepada Antarapos.
Semalam seramai 200 orang berketurunan Bugis berhimpun di perkarangan
Yayasan Kepimpinan Perdana menuntut Dr Mahathir memohon maaf ekoran
didakwa menghina bangsa mereka.
Pada himpunan Anti-Najib Sabtu lalu, Dr Mahathir menyebut Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkemungkinan berasal dari lanun
Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Malah, mereka juga tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan kepada polis sekiranya Dr Mahathir gagal berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Edwin berkata hanya kerana beliau kini berubah arah
dan berada sepentas bersama pemimpin pembangkang, Dr Mahathir tergamak
mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman sedemikian.
"Apa yang berlaku pada perhimpunan itu adalah satu kenyataan yang
dikeluarkan atas dasar kebencian terhadap Perdana Menteri. Ketidak
sehaluan dengan Perdana Menteri jadi dia menyalahkan kelompok minoriti
itu hanya kerana dia tidak 'sebulu' dengan Najib Razak," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan