IPOH: Mahkamah Majistret Ipoh menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas
seorang pelajar tingkatan enam selepas mengaku bersalah mengeluarkan
kenyataan menghina Sultan Perak dalam laman sosial, enam hari lalu.
Majistret Siti Hafizah Jaafar turut memerintahkan pelajar lelaki sebuah
sekolah di Muar, Johor, itu dipenjara tiga bulan jika gagal membayar
denda berkenaan.
Tertuduh didakwa menggunakan aplikasi Twitter secara sedar membuat dan
menghantar komen bersifat jelik iaitu 'Sultan Perak pun bodoh' di laman
http://mobile.twitter.com/farhaleigh dengan niat untuk menyakitkan hati
orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bandar Baru Medan Ipoh di sini pada jam 10.30 malam pada 13 Oktober lalu.
Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3)
akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara
sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut laporan BH Online, pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Irna
Julieza Maaras manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman
Kebangsaan, Awatif Ahmad Bashir.
Terdahulu, Siti Hafizah meminta tertuduh menyebut lima prinsip Rukun
Negara di dalam mahkamah dan bertanya sama ada dia memahami prinsip yang
terkandung dalam Rukun Negara itu.
Beliau juga menjelaskan tindakan tertuduh itu menyalahi prinsip kelima
iaitu Kesopanan dan Kesusilaan serta ramai anggota masyarakat turut
mengabaikannya sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan angkuh serta
menghina orang lain.
"Berdasarkan pertuduhan, awak sepatutnya boleh dipenjarakan tetapi
disebabkan usia yang masih muda, mahkamah cuba menghindarkan hukuman itu
demi masa depan kamu.
"Bagaimanapun, hukuman setimpal perlu diberikan sebagai pengajaran," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan