KUALA LUMPUR: Parti pembangkang dan media yang menyokong mereka
meneruskan kempen mensabotaj ekonomi negara dengan menyebarkan
pembohongan menggunakan laporan mutakhir Bank Dunia mengenai Asia Timur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
berkata, parti pembangkang menyebarkan pembohongan itu demi kepentingan
politik semata-mata.
Katanya, sepatutnya mereka perlu berasa malu kerana tindakan itu
memalukan negara dan rakyat Malaysia dengan berita palsu yang jelas
tidak seiring dengan apa yang diperakui institusi global itu mengenai
Malaysia.
"Mereka (pembangkang dan proksi media) mengetahui Kerajaan ini
mempunyai pelan ekonomi dan perancangan itu telah dan akan terus
dilaksanakan demi manfaat rakyat Malaysia.
"Ini adalah pencapaian sebenar Kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Semua rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan rekod pencapaian
ekonomi negara (berdasarkan laporan Bank Dunia)," katanya dalam satu
kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.
Tambah Rahman yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno,
media pembangkang juga menggunakan laporan Bank Dunia secara 'terpilih'
dan tidak menggunakan secara keseluruhannya.
"Sesiapa saja yang berkata demikian patut membaca keseluruhan laporan
itu. Walaupun ia ada menyentuh aspek bahaya risiko dalaman, laporan itu
turut memuji pencapaian semasa Malaysia," demikian menurut kenyataan
itu.
Malah ujar beliau lagi, rakyat perlu tahu kesimpulan sebenar yang
dibuat Bank Dunia terhadap ekonomi Malaysia sebenarnya adalah seperti
berikut;
“Pertumbuhan KDNK di Malaysia berlaku pantas ketika separuh pertama
2017 kepada 5.7 peratus (perbandingan tahun ke tahun), disokong oleh
permintaan domestik dan luaran yang kukuh.
"Hasilnya, ekonomi Malaysia diunjur berkembang dengan kadar 5.2
peratus pada 2017. Prospeknya kekal positif, sejajar keadaan ekonomi
Malaysia terus menikmati pertumbuhan memberangsangkan yang merentasi
pelbagai sektor secara meluas.
“Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan semasa
pada 2018 dan 2019, walaupun pada kadar lebih sederhana di sebalik
unjuran pertumbuhan penggunaan modal yang lebih rendah," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan