KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri Kedah dan
Perlis sejak pagi tadi dilaporkan masih buruk dengan sebanyak 597 murid
Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang di Alor Setar diarahkan pulang.
Guru Besar Badriah Minai berkata, murid dibenarkan pulang mulai pukul
11 pagi, setelah sekolah berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat
berlarutan sejak awal pagi.
"Sesi persekolahan berjalan seperti biasa sehingga pukul 11 pagi
apabila air semakin meningkat. Pihak APM (Angkatan Pertahanan Awam
Malaysia) datang ke sekolah untuk bantu memindahkan murid-murid.
"Waris datang mengambil murid-murid dan ada yang dihantar pulang oleh anggota APM," katanya.
Badriah berkata, sesi persekolahan akan berlangsung seperti biasa esok
selagi tidak mendapat sebarang arahan penutupan daripada Pejabat
Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri.
Sekolah berkenaan dinaiki air sedalam kira-kira satu meter memaksa
sekolah ditutup dan murid-murid dipindahkan dengan menggunakan kenderaan
disediakan APM.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kota Setar,
anggotanya digerakkan ke sekolah berkenaan pada pukul 10.30 pagi bagi
membantu pelajar sekolah keluar dari sekolah itu.
“Anggota APM memindahkan pelajar sekolah ke kawasan lebih tinggi sebelum diambil oleh ibu bapa mereka pulang,” katanya.
Beberapa sekolah lain termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Sultanah Bahiyah, SMK Jitra dan SK Hutan Kampung turut dinaiki air.
Selain itu, laporan agensi sebuah portal berita itu turut memberitahu
banjir berkenaan juga menenggelamkan beberapa jalan utama di daerah
berkenaan termasuk Jalan Putra, Jalan Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar
di sini.
Lebih banyak kawasan terlibat banjir
Sementara itu menerusi maklumat di media sosial, antara kawasan
terlibat banjir seperti Alor Setar, Anak Bukit, Jitra, Kubang Pasu,
Kepala Batas, Bukit Pinang dan Padang Serai.
Kawasan yang ditenggelami air di Alor Setar seperti Kompleks Shahab
Perdana, Taman Uda, Hospital Sultanah Bahiyah dan Sekolah Sultanah
Bahiyah.
Sementara di Anak Bukit pula adalah Pusat Latihan Polis, Taman Aman dan Kampung Alor Senjaya.
Di Jitra pula kawasan yang terlibat adalah Bandar Darulaman, Taman
Darulaman, Taman Setia Jaya, Sekolah Kebangsaan Jitra 3, Sekolah
Menengah Jitra, Taman Mahkota, Taman Mahsuri, Taman Tunku Sarina, Taman
Kepala Batas dan Sekolah Tunku Anum Tok Jalai.
Dalam pada itu, paras air di Sungai Baru Kepala Batas meningkat pada
paras bahaya sementara Sungai Kedah pula dalam keadaan berjaga-jaga.
Orang ramai tinggal di kawasan-kawasan yang berisiko ditenggelami air
dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan peka dengan arahan pihak berkuasa
sekiranya banjir bertambah buruk.
Di Perlis Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra di negeri ini dilanda
banjir kilat selama sejam setengah iaitu bermula pukul pukul 7 pagi
itu.
Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail ketika dihubungi mengesahkan
kejadian itu tetapi memberitahu, walau bagaimanapun tidak menganggu
kelancaran Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di sekolah itu hari ini.
Difahamkan, kejadian itu berpunca akibat masalah aliran sistem perparitan di kawasan berkenaan yang tersekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan