Oleh Subky Latif
KHUTBAH rasmi Jumaat 29 September 2017 Wilayah
Persekutuan yang Jawi sediakan telah membela dan mempertahankan Rang
Undang-Undang 164 (pindaan) bagi kebuntuan pemansuhan perkahwinan
pasangan berkahwin semasa sama-sama tidak Islam yang didaftarkan di
mahkamah sivil.
Setelah salah seorang mereka memeluk Islam,
mereka buntu menyelesaikan perceraian kerana tiada peruntukan pasangan
yang didaftarkan di mahkamah sivil boleh dibuat melalui undng-undang
keluarga Islam.
Semua kes ini tergantung. Mahkamah sivil
tidak dapat menyelesaikannya kerana ia orang Islam dan mahkamah Islam
tak dapat menyelesaikannya kerana tiada peruntukan mengenai yang bukan
Islam dalam pasangan itu.
Islam telah menentukan anak
pasangan yang salah seorang Islam mestilah Islam dan harta seorang Islam
tidak boleh dipesakakan kepada bukan Islam. Harta orang Islam yang mati
ada hak bagi warisnya. Jika dibahagikan kepada yang tidak berhak
nescaya yang berhak tidak dapat haknya sepenuhnya.
Macam mana hendak menyelesaikannya? Dan apa agama anak mereka apabila ia tiada peruntukan dalam mahkamah Islam menanganinya?
Maka
bagi menyelesaikan dibuatlah pindaan ke atas Akta 164 dengan menambah
peruntukan bagi memungkinkan perkahwinan mereka dimansuhkan. Tetapi
penyelesaian itu adalah mengikut keadilan bagi msyarakat majmuk yang
tidak semestinya adil mengikut hukum Islam.
Daripada
semangat pindaan itu, pasangan yang Islam tak dapat semua dan tidak pula
hilang semua. Pasangan yang tidak Islam tadi juga tidak dapat semua dan
tidak pula hilang semua.
Dalam Islam ada kaedah fikahnya, kalau tak dapat semua, jangan hilang semua.
Tapi
bolehkah Islam menerima anak yang sepatutnya Islam dibenarkan tak tentu
akidahnya sehinggalah mereka menetukan sendiri setelah berusia 18
tahun?
Kerana kanak-kanak itu tak tentu agamanya, bagaimana
hendak memberi asuhan dan didikan Islam sebelum mereka berusia 18
tahun. Jika mereka tidak mendapat didikan agama, bagaimana hendak
mengaji al-Quran sebelum usia 18 tahun? Bukanlah mudah baginya
mempelajari al-Quran secara berkesan selepas berusia 18 tahun dan apa
jaminan mereka memilih Islam setelah cukup usia?
Kanak-kanak
itu ada usia mumaiyiznya, sebelum 18 tahun. Bagaimana kalau dia mati
sesudah mumaiyiz tetapi belum 18 tahun? Mati tidak beragama. Adapun
syurga itu adalah tempat kembali orang beragama tauhid. Jika beragama
Islam pun belum tentu syurganya, yang tidak beragama tentulah bukan di
situ tempatnya.
Bahagialah jika dia memilih Islam sesudah
berusia 18 tahun.Tetapi Islamnya bukan justeru didikan bapa atau ibunya
Islam. Dia jadi Islam seperti Nabi Ibrahim. Ditentukan Allah Islam bukan
atas didikan ibu dan bapanya.
Perceraian mereka dapat
diselesaikan tetapi bagi Islam dalam pasangan itu tidak dapat tentu
akidah anaknya. Itulah dilema umat Islam yang negaranya ada perlembagaan
menjadikan Islam agama persekutuan tetapi tidak semua masalah umat
dilindungi oleh agamanya.
Tiada yang memikirkan jika ada
kekurangan dalam undang-undang keluarga Islam, ia yang perlu
disempurnakan, bukan menyerahkan masalah umat kepada keadilan kemajmukan
Malaysia.
Khutbah itu penuh dengan nasnya, dikira RUU 164
adalah setepat tindakan pemimpin dan Parlimen ambil walaupun Mufti
Perak membantah pembentangannya, sedang beliau adalah mufti paling
kanan.
Tidak pasti ada khutbah RUU 355 yang disepakati oleh
semua ulama tetapi RUU yang tidak disepakati ulama dikhutbahkan. Tidak
pasti makmum diyakinkan dengan kepadatan hujah.
Yang
menarik, hujung khutbah itu menyeru supaya sekaliannya menyokong
tindakan yang diambil oleh pemimpin tertinggi seolah-olah ia jerayawara
TN50

Tiada ulasan:
Catat Ulasan