Oleh Kanun
Polemik tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra akan
tergugat selepas PRU 14 kini didendangkan kembali. Polemik ini kembali
hangat menjelang setiap kali PRU diadakan.
Momokan yang paling utama adalah bahawa DAP akan menjadi ancaman
kepada orang Melayu kerana DAP akan memerintah Malaysia. Jika parti lain
dalam komponen PH yang memerintah sekalipun, mereka akan tetap
dipanggil kuda tunggangan DAP.
Benarkah begitu kesannya jika DAP menang banyak kerusi dalam PRU 14
yang akan datang?
Bagaimanakah kedudukan orang Melayu dan Bumiputra
Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.
Apakah benar jika Barisan Nasional (BN) kalah kepada Pakatan Harapan
(PH) maka kedudukan orang Melayu akan tergugat? Atau, apakah yang
dikatakan ancaman ini hanyalah gimik politik pihak tertentu untuk
menakutkan pengundi daripada mengundi Pakatan Harapan.
Pas pula giat membuat momokan kononnya DAP akan menjadi ancaman
kepada kesucian Islam. Maka, PAS mereka-reka pelbagai alasan yang tidak
munasabah untuk menjustifikasikan tohmahan itu.
Sebenarnya momokan PAS itu akan membantu BN dengan mengurangkan
keyakinan pengundi kepada PH dan sekaligus akan membenarkan BN kembali
memerintah.
Kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak adalah terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Intipati Perkara 153 menyatakan bahawa ada tiga perkara utama
berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra ini yang
diberikan keutamaan iaitu, perjawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa
dan bantuan pelajaran, permit dan lesen perniagaan.
Tujuan utama orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak ini
diberikan kedudukan istimewa adalah untuk membolehkan ketiga-tiga
kategori bangsa ini dapat bersaing daripada segi ekonomi.
Realitinya, ramai penjawat awam dalam perkhidmatan awam adalah
daripada bangsa Melayu. Malah, kaum lain tidak berapa tertarik untuk
memasuki perkhidmatan awam dan mereka lebih gemar untuk bekerja sendiri
atau di sektor swasta.
Begitu juga, biasiswa dan bantuan pelajaran yang diberikan oleh
kerajaan sudah hampir tiada. Kesemua pelajar universiti kini terpaksa
mengambil pinjaman daripada PTPTN. Selain itu, permit dan lesen
perniagaan pula banyak dimonopoli oleh bangsa Melayu yang menjadi rakan
niaga kepada parti pemerintah.
Maka, jika tindakan terpilih ini dibuat, sampai bilakah bangsa Melayu
secara keseluruhannya akan maju. Permit dan lesen perniagaan ini adalah
seperti AP import kereta, beras dan gula dan lain-lain bahan komoditi
kesemuanya sudah mendatangkan wang yang lumayan kepada kroni.
Tambahan lagi, ada pihak yang hanya mendapat lesen dan permit tetapi
setelah itu telah meng’alibaba’kan permit berkenaan. Ini juga adalah
suatu bentuk pengkhianatan kepada Perkara 153 dan ketirisan sebeginilah
yang menyebabkan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputra ini tergugat.
Peruntukan Perkara 153 adalah jelas memberikan kuasa kepada Yang
di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memberikan arahan am berkaitan kedudukan
istimewa orang Melayu dan Bumiputra ini.
Ini bermakna, hal berkaitan kedudukan istimewa ini sepatutnya tidak
boleh dimanipulasikan oleh orang politik kerana ianya berada di bawah
naungan YDPA.
YDPA adalah dipilih daripada sembilan Raja-Raja Melayu yang akan
bergilir-gilir memegang jawatan itu untuk tempoh selama lima tahun.
Tidak mungkin YDPA akan mengkhianati kedudukan istimewa Melayu dan
Bumiputra ini dengan membenarkan pindaan Perkara 153 ini dilakukan.
Maka, dalam hal ini tidak timbul kelak DAP akan menjadi ancaman kepada keruntuhan kedudukan istimewa ini.
Dalam keadaan sekarang ini, sebenarnya kedudukan istimewa orang
Melayu dan Bumiputra ini telah pun dikurangkan oleh pemerintah yang
sedia ada.
Kedudukan ini walaupun mendapat jaminan Perlembagaan tetapi
perlaksanaannya dilakukan oleh sistem pentadbiran yang ada. Jika
semangat politik kerajaan yang sedia ada ini kuat maka kedudukan
istimewa itu pasti akan diperkuatkan.
Jika semangat politik itu telah tiada maka tiada apa-apa harapan lagi yang boleh diletakkan kepada pemerintah sekarang.
Dalam keadaan masa kini, kedudukan istimewa dalam Perkara 153 itu
sudah kukuh dan terjamin. Peruntukan Perlembagaan itu sangat sukar
dipinda kerana ianya memerlukan sekurang-kurangnya 2/3 sokongan majoriti
ahli parlimen.
Tidak mungkin DAP akan mendapat 2/3 sokongan majoriti kerana DAP
hanya akan bertanding sekitar 50 kerusi daripada 222 kerusi Dewan
Rakyat.
Jika DAP menang kesemua kawasan pun masih tetap DAP tidak mendapat
sokongan majoriti 2/3.
Tambahan lagi, ada calon parlimen DAP yang
berbangsa Melayu maka tidak mungkin beliau sendiri akan menyokong untuk
meminda Perkara 153.
Sebaliknya, jika dilihat dasar pemerintah yang sedia ada, kedudukan
istimewa orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak ini semakin
terancam.
Seperti yang dikatakan di atas bahawa kini para pelajar universiti
dan kolej amat sukar untuk mendapat sebarang biasiswa atau bantuan
pelajaran secara percuma daripada kerajaan.
Kesemua bantuan itu sudah dijadikan sebagai pinjaman PTPTN. Jika
masih dikekalkan pemerintahan yang sedia ada maka dikhuatiri kedudukan
istimewa ini akan terus terancam. Sebaliknya, dengan pemerintahan yang
baharu, ruang untuk bersuara pasti akan menjadi lebih baik.
Jika ruang untuk bersuara diberikan pasti isu-isu sensitif seperti
kedudukan istimewa ini akan dapat dibincangkan secara bebas dan sihat.
Dialog terbuka secara harmoni akan membantu supaya masing-masing
dapat memberikan pandangan dan buah fikiran yang akan dapat memajukan
rakyat Malaysia.
Apa yang mencetuskan perasaan tidak puas hati kaum lain adalah kerana
mereka tidak dibantu dengan biasiswa atau sokongan pelajaran oleh
pemerintahan sedia ada walaupun mereka seorang yang genius dan
berpotensi untuk menjadi seorang intelektual. Mereka pula berasal
daripada keluarga yang susah dan memerlukan bantuan.
Justeru, dakwaan bahawa kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra
Sabah dan Sarawak akan terjejas selepas PRU-14 perlu diselidik dengan
teliti sebelum diterima bulat-bulat.
Dakwaan seperti itu hanyalah untuk menaikkan emosi pengundi dan
menghilangkan kewarasan pengundi untuk menimbangkan sesuatu kempen
secara objektif.
Dakwaan ini juga dibuat bagi menakut-nakutkan orang ramai dengan
pengaruh PH yang berpotensi menggugat pemerintah BN selama 60 tahun ini.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan