Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan enggan
mengikut jejak langkah Amanah yang mengumumkan bilangan kerusi yang
ingin ditandingi mereka di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) akan datang.
Pengerusi Perhubungan PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor
berkata, walaupun sememangnya wujud perbincangan mengenai permintaan
kerusi di peringkat parti, namun pihaknya memilih untuk mengumumkannya
usai perbincangan bersama rakan komponen lain dalam Pakatan Harapan
(PH).
"Sekarang ini sesama PPBM kita sudah bincang, tapi kita tak umum kepada
media dan orang ramai. Sebabnya belum bincang dengan rakan-rakan lain
dalam PH.
"Jadi kita tunggu sampai masanya, kita bincang, kita runding, selepas
selesai, semua pihak bersetuju, barulah kita umum," katanya kepada
Antarapos.
Terdahulu Antarapos melaporkan Amanah Kelantan mengesahkan ia meminta
sebanyak 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen
untuk ditandingi pada PRU akan datang.
Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamad berkata hasrat
berhubung bilangan kerusi itu diajukan lebih tiga bulan yang lalu kepada
PH untuk dibincang dan dimuktamadkan.
Menurut Che Ibrahim, semua parti gabungan PH perlu menyatakan jumlah
kerusi yang ingin ditandingi sebelum ia dimuktamadkan kemudian.
Kamaruddin ketika mengulas hasrat Amanah negeri yang mahukan 38 kerusi
peringkat DUN dan Parlimen, berkata 'ia bukan satu masalah' kerana
akhirnya ia akan melalui dua peringkat penilaian sebelum dimuktamadkan.
"Itu terserah kepadanya, nak minta semua pun tiada masalah.
"Bahkan di peringkat negeri pun tidak putus, tidak muktamad. Semuanya
akan dibawa kepada Majlis Presiden peringkat pusat, jadi ada lagi dua
langkah," katanya yang juga Ketua Penerangan PPBM.
Dalam pada itu beliau tidak menolak PPBM secara dasarnya akan
bertanding di kerusi milik Umno, namun ujarnya ia masih bergantung
kepada keputusan akhir kelak.
Ditanya sama ada PPBM akan diterima pengundi di Kelantan pada PRU14
memandangkan ia sebuah parti baru dan merupakan kali pertama bertanding,
Kamaruddin berkata beliau yakin pengundi di negeri itu bijak dan
mempunyai pertimbangan tersendiri.
"Soal (parti) baru atau lama tidak menjamin apa-apa, baik Umno atau PAS
keduanya parti lama tapi PAS walau sudah lama, tak pernah menang lebih
tiga negeri, termasuk sekejap di Kedah dan Terengganu. Hanya lama di
Kelantan.
"Bagi kita, atas nama parti, memang kita baru tapi melihat kepada
pimpinannya, penggeraknya, bukanlah orang baru. Adakah Tun Dr Mahathir
baru dilahirkan semalam dalam dunia politik? Begitu juga Tan Sri
Muhyiddin Yassin dan tokoh lain yang berpengalaman," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan