GOMBAK: Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam memaklumkan pihaknya akan menghantar 60 kakitangan ke hospital medan yang akan dibina oleh Malaysia di kem pelarian Rohingya di Cox's Bazar, Bangladesh.
Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis
Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di Batu Caves, hari ini.
“Tengoklah berapa lama mereka diperlukan. Kalau diperlukan lama, mungkin kita boleh hantar secara giliran,” katanya.
Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata, pembinaan hospital medan
ini merupakan keputusan mesyuarat Kabinet untuk membantu pelarian
berkenaan.
“Kementerian Kesihatan telah buat segala persiapan untuk pergi ke situ
dengan kerjasama beberapa pihak daripada agensi lain, termasuk angkatan
tentera, majlis keselamatan negara," ujarnya.
Pada Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi dilaporkan berkata, Malaysia akan membina hospital medan bernilai
RM3.5 juta di kem pelarian Rohingya dalam tempoh sebulan, sebaik sahaja
mendapat kelulusan kerajaan Bangladesh.
Sementara itu, Subramaniam ketika ditanya sambutan masyarakat India
terhadap kerajaan dan Barisan Nasional (BN) memberitahu sokongan pada
masa kini amat menggalakkan.
“Kerana kita telah secara langsung dan positif umumkan pelbagai jenis
langkah untuk masyarakat India sebelum ini seperti pembangunan sekolah
tamil, pembangunan ekonomi masyarakat India, bantuan dalam bidang
pendidikan dan sebagainya," ujar Subramaniam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan