GUA MUSANG: Pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU-14) di Kelantan adalah satu perkara yang positif dan baik,
membolehkan pengundi memilih wakil rakyat daripada parti yang boleh
membantu mereka, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Katua Umno Bahagian Gua Musang itu juga yakin rakyat Kelantan akan
menolak parti lain termasuk PAS yang tidak membawa perubahan terhadap
taraf hidup rakyat walaupun sudah lama memerintah negeri ini.
"Rakyat Kelantan mungkin beralih sokongan kepada Umno yang bersedia membawa perubahan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan
Usahawan Amanah Iktiar Malaysia (AIM) Parlimen Gua Musang di Bukit
Chekati, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan kerjasama di antara Umno dan PAS, khususnya di
negeri itu, Tengku Razaleigh bagaimanapun menolak tanggapan sedemikian.
"Tak ada cadangan (Umno) nak bergabung dengan PAS. Saya juga tak fikir
peringkat bawahan bersetuju berbuat demikian," katanya sambil menambah
tidak mahu 'pisang berbuah dua kali'.
Beliau berkata kepemimpinan Umno perlu mengkaji dahulu perkara terbabit
kerana sejarah di Kelantan sudah membuktikan perjuangan kedua-dua parti
berkenaan tidak sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan