BACHOK: Umno dan PAS perlu “duduk semeja” bagi mencari titik persamaan
demi kepentingan umat Islam, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar
Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu berkata pertelagahan yang berterusan tidak
membawa sebarang keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan.
Justeru atas dasar itulah ujarnya, Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan.
“Jika PAS mahu bekerjasama atau membincangkan soal itu, Umno sebenarnya
tiada apa-apa masalah,” katanya kepada pemberita pada majlis santai
bersama media di sini, malam tadi.
Tambahnya sungguhpun kedua-dua parti itu tidak boleh berkompromi dengan
PAS dalam perkara-perkara tertentu, namun masih banyak perkara lain
yang boleh dibuat bersama melalui konsep ta’awun seperti dalam meminda
Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Beliau dalam pada itu berkata Umno kini bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kita ingin menegaskan siapa-siapa (parti) yang menyokong DAP kita akan tentang seperti PPBM dan PKR.
“Bagi saya pada PRU-14 akan datang, mana-mana yang menyokong DAP kita
wajib tentang kerana kita tidak mahu DAP ‘menguasai’ walaupun mereka
tidak memerintah seperti yang berlaku di Selangor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan