Roketkini.com
KLUANG: Dakwaan bahawa lebih seribu anggota tentera dan pasangan mereka didaftarkan sebagai pengundi di sebuah kem yang masih dalam pembinaan di Segamat adalah berdasarkan bukti yang sah.
Adun Mengkibol, Tan Hong Ping menegaskan dakwaan itu dibuat pihaknya hasil semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga 2017 yang sedang dipamerkan.
“Rang Daftar Pemilih Tambahan adalah dokumen rasmi yang diterbitkan dalam warta Kerajaan Malaysia mengikut Akta Pilihan Raya. Ia bukan ciptaan ataupun sangkaan DAP,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor dalam kenyataan.
“Begitu juga status pembinaan Kem Segamat yang belum siap dibina. Nyata sekali bangunan-bangunan di situ masih tiada bekalan air, tiada bekalan elektrik dan tidak didiami oleh mana-mana warganegara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada Rabu lepas yang menyifatkan dakwaan DAP tersebut sebagai “tidak masuk akal” dan “sangat gila”.
Hong Pin dalam pada itu turut menempelak tindakan Hishammudin yang mengelak daripada menjawab dakwaan itu sebaliknya meminta supaya Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memberi penjelasan berhubung isu itu.
“Saya menggesa Hishamuddin berani bertanggungjawab, bukan melepaskan isu ini kepada Panglima Angkatan Tentera.
“Beliau sewajarkan tampil memberi penjelasan secara terperinci di sesi Parlimen yang akan bersidang pada minggu hadapan,” ujarnya.
Beliau memberi tempoh tujuh hari kepada Hishammuddin dan kementeriannya untuk membuat penjelasan sebelum tindakan selanjutnya diambil oleh pihaknya.
“Tanpa tindak balas sewajarnya dalam tujuh hari, saya bersama rakan-rakan Pakatan Harapan bersedia membuat aduan kepada Yang Di Pertuan Agong yang merupakan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara,” tegasnya.
Beliau turut menggesa Hishammudian agar melakukan siasatan jika wujud unsur sabotaj dalam pendaftaran tersebut.
“Kami tidak ingin melihat anggota tentera disusahkan dan dijadikan mangsa dalam percaturan politik kotor.
“Hishamuddin harus melakukan siasatan dalaman dengan segera untuk mengenalpasti siapakah dalang yang melakukan kerja yang ‘tidak masuk akal’ dan ‘sangat gila’ tersebut,” ujarnya.
DAP pada Seleasa lepas mendedahkan seramai 1,051 anggota tentera dan pasangan mereka didaftarkan di Kem Segamat yang hanya dijadualkan siap pada April 2018. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan