SIBU: Kerajaan negeri Sarawak memberi jaminan Empangan Bengoh yang
terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuching, "secara teknikal dan
strukturnya selamat dan stabil" sekaligus menafikan laporan berita yang
menyatakan empangan terbabit mengalami kebocoran.
Dalam laporan berkenaan, dua ahli PKR mendakwa empangan terbabit yang
digunakan sebagai kawasan tadahan air untuk Kuching dan bandar Bau,
Samarahan dan Lundu, "menunjukkan tanda kebocoran".
The Borneo Post, yang menyiarkan dakwaan ketua PKR cawangan Puncak
Borneo Willie Monggin dan naib pengerusi PKR Sarawak Boniface Willy
Tumek menerusi portal beritanya dilaporkan diminta menurunkan laporan
berkenaan lewat malam tadi.
Ketua PKR negeri Baru Bian mengkritik cubaan menutup berita itu dan
berkata Adun Batu Lintang, See Chee How, boleh membawa usul tergempar di
sidang Dewan Undangan Negeri bagi membincangkan kebocoran yang
dilaporkan itu.
Menteri Utiliti Sarawak Dr Stephen Rundi bagaimanapun berkata pada satu
sidang media bahawa "kesan air" yang dilihat dalam gambar empangan
Monggin dan Tumek, yang menjadi viral di media sosial, "sebenarnya
adalah binaan sambungan dan bukan retakan sebagaimana yang didakwa".
"Resapan pada sesetengah sambungan itu sememangnya dijangka dan kesan
basah pada kawasan berkenaan adalah berpunca daripada resapan," kata
Rundi.
Mengulangi bahawa empangan berkenaan masih selamat, Rundi berkata
binaan dan reka bentuknya dibuat atas nasihat pakar empangan
antarabangsa dari United Kingdom dan kontraktor pakar dari China, yang
sudah membina lebih 200 empangan di seluruh dunia.
Empangan terbabit dibina oleh Naim Holdings Sdn Bhd.
"Rekaan dan binaan lanjut kemudiannya dikaji semula oleh pakar empangan yang dikenali dunia dari Australia," katanya.
Rundi bagaimanapun menimbukan keraguan apabila pada awalnya berkata
penurunan paras air daripada titik tertinggi 77.6 meter kepada 65 meter
adalah "mengikut prosedur operasi yang ditetapkan oleh perunding
empangan".
Kemudian beliau mengakui penurunan itu adalah bagi membolehkan "kerja tampalan" pada sambungan itu.
"Penurunan paras air itu adalah dirancang dan dilepaskan menerusi
pembetung dan ia bukan berpunca daripada mana-mana kerosakan atau
kebocoran empangan," katanya sebelum ini.
Menurut beliau, keselamatan dan integriti empangan itu tidak dikompromi
dan integriti ini "disahkan" oleh perunding empangan Halcrow Consultant
dari UK menerusi pemeriksaan berkala terbaru yang dibuat bulan lalu.
Monggin dan Tumek dalam kenyataan semalam berkata, kebocoran itu
memberi ancaman kepada 3,500 penduduk yang tinggal di lima perkampungan
Bidayuh sepanjang hulu Sungai Kiri Sarawak.
Menurut mereka, apabila berita berkenaan tersebar sejak dua minggu lalu, penduduk mula bimbang dan tidak lena tidur".
Antara perkampungan terbabit adalah Kampung Bengoh, Danu, Semadang, Giam dan Git.
Monggin dan Tumek berkata, mereka membawa "rakan jurutera" ke empangan
berkenaan pada 11 November lalu untuk nasihat pakar dan apa yang mereka
lihat "adalah tanda pada permukaan empangan dan tebing kawasan yang
diempang, bahawa paras air menyusut kira-kira lima kaki dari paras
normal".
"Pada bahagian bawah permukaan, boleh dilihat dengan jelas kebocoran air pada dinding empangan.
"Air daripada empangan itu juga dilihat melimpah keluar daripada dua cawangan keluar di bahagian paling bawah dinding empangan.
"Kami dimaklumkan air dikeluarkan daripada empangan itu berikutan kerja pembaikan segera akan dijalankan."
Empangan bernilai RM310 juta itu, yang mula beroperasi pada hujung 2015, dibuka sepenuhnya pada Ogos tahun lalu.
Ia dibina bagi menampung bekalan air untuk Kuching dan kawasan sekitar
sehingga 2030, yang mana pada masa itu jumlah populasi penduduk dijangka
meningkat kepada lebih sejuta orang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan